Khamis, 8 March 2018 | 5:45pm
PENGERUSI Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Md Jais Sarday. - Foto Hairul Anuar Rahim
PENGERUSI Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Md Jais Sarday. - Foto Hairul Anuar Rahim

6 projek Taman Perbadanan Islam di Johor

KOTA ISKANDAR: Kerajaan Johor sedang dan akan membangunkan sebanyak enam Taman Perbadanan Islam (TPI) dalam usaha membantu rakyat mendapatkan perumahan mampu milik bagi mereka yang kurang berkemampuan.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Md Jais Sarday, berkata empat projek yang sedang dibangunkan membabitkan 1,525 unit meliputi 234 unit Pakej A (RM42,000), 337 Pakej B (RM80,000) dan 954 Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) bernilai RM150,000 di seluruh negeri bagi trmpoh sehingga tahun 2020.

"Projek pertama, di TPI Jalan Datin Halimah dengan pembinaan 71 unit RMMJ dan sehingga hari ini kemajuan kerja mencapai 97 peratus siap dan sijil perakuan siap kerja (CCC) dijangka diperoleh pada bulan hadapan.

"Kedua, di TPI Larkin dengan pembinaan 121 unit RMMJ dengan kemajuan kerja 13 peratus, manakala projek ketiga di TPI Stulang Baru dengan pembinaan 126 unit Pakej A, 99 unit Pakej B dan 108 RMMJ dengan kemajuan kerja 22 peratus dan dijangka siap Disember tahun ini.

"Keempat, TPI Rengit di Batu Pahat dengan pembinaan 58 unit RMMJ yang sudah bermula Disember tahun lalu di mana kelulusan merancang diperoleh daripada Majlid Perbandaran Batu Pahat seterusnya pelan kerja tanah dan bangunan dihantar bagi mendapatkan kelulusan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Dr Mohamad Taslim (PAS-Maharani) mengenai jumlah TPI yang dibina pada mesyuarat keempat penggal persidangan kelima Dewan Negeri Johor yang ke-13 di sini, hari ini.

Md Jais berkata, dua lagi projek akan dibangunkan ialah TPI Teluk Permata (Teluk Jawa) dengan pembinaan 106 unit RMMJ dijangka bermula pada bulan ini.

"Kedua, TPU Maharani di Muar dengan pembinaan 92 unit RMM, 90 Pakej A, 136 Pakej B dan 10 unit kedai kos rendah," katanya.

Pembangunan TPI seluruh Johor itu dipertanggungjawabkan kepada PIJ Holdings Sdn Bhd iaitu anak syarikat kerajaan negeri.

Berita Harian X