Khamis, 8 March 2018 | 8:39am
SEKUMPULAN gajah melintas jalan raya di Kampung Bauto, di Telupid. - Foto ihsan pembaca
SEKUMPULAN gajah melintas jalan raya di Kampung Bauto, di Telupid. - Foto ihsan pembaca

Kajian terperinci tangani konflik gajah di Telupid

SANDAKAN: Semua pihak perlu berganding bahu dan sedia mencuba pelbagai alternatif jangka panjang bagi mengurangkan konflik manusia dengan gajah Pygmy Borneo di Telupid.

Pengarah Projek Seratu Aatai, Dr Nurzhafarina Othman, berkata kajian perlu dilaksanakan terhadap pembukaan tanah untuk pembangunan di kawasan itu termasuk bagi pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo supaya tidak mengganggu laluan dan habitat gajah.

Selain itu, katanya, jabatan berkaitan, masyarakat setempat dan badan bukan kerajaan (NGO) perlu bersedia untuk menyumbangkan tenaga dan sumber kewangan dalam usaha mengimbangkan keperluan manusia dengan hidupan liar itu.

"Untuk jangka panjang, perlu ada perancangan lebih terperinci misalnya jika mahu membuka tanah baharu untuk tanam kelapa sawit, harus pilih lokasi yang tepat, bukan di kawasan 'hotspot' gajah, sekali gus mengelak tanaman diganggu.

"Kita juga perlu lebih terbuka mencuba pelbagai alternatif seperti memasang pagar elektrik, namun perlu pastikan ia dijaga kerana jika tiada orang berhampiran pagar yang dipasang, gajah tetap cuba merosakkannya untuk dapatkan tanaman di dalam kawasan berpagar," katanya ketika dihubungi.

Projek Seratu Aatai, yang bermaksud perpaduan dalam bahasa Sungai, menumpukan terhadap usaha memahami ekologi gajah Borneo di luar kawasan perlindungan dan membangunkan keupayaan tempatan untuk menangani konflik antara gajah dan manusia di Sabah.

Pendekatan ini menjadi model kerjasama baharu untuk meningkatkan peluang menyelamatkan hidupan liar itu serta usaha pemuliharaan pada masa depan.

Sebelum ini, media melaporkan kehadiran kira-kira 20 gajah di Telupid, yang dikesan sejak awal tahun ini membabitkan dua kumpulan yang berada di enam lokasi.

Dalam konflik yang berlaku di Telupid, Nurzhafarina berkata ia bukan perkara baharu di negeri ini, sebaliknya isu berkenaan menjadi besar kerana komuniti setempat baru mengalaminya.

Di Kinabatangan, katanya, penduduk tidak lagi mempersoalkan mengenai gangguan gajah kerana sudah biasa dengan kehadiran hidupan liar itu dan lama berdepan situasi berkenaan.

"Gajah mengganggu tanaman, rosakkan barang dan sebagainya, itu semua tabiat biasa gajah dan jika dilihat, gajah di Telupid sudah bersedia menerima cara kehidupan manusia.

"Di Kinabatangan, mereka melalui proses yang panjang untuk menerima kehadiran gajah bermula dengan sikap ambil berat terhadap keperluan haiwan itu, langkah berkaitan pembukaan ladang baharu dan penubuhan pasukan tetap yang belajar mengenai pergerakan gajah dan bagaimana menghalaunya" katanya.

Nurzhafarina berkata, kajian terperinci juga perlu dilakukan bukan saja terhadap keperluan gajah, malah aspek lain termasuk pergerakan dan laluannya jika mahu membangunkan sektor pelancongan di Telupid.

Berita Harian X