Isnin, 5 March 2018 | 9:52pm
AHLI Parlimen Kubang Pasu, Datuk Sri Mohd Johari Baharom (dua dari kanan) bersalaman dengan peserta ketua kontinjen yang menyertai Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah-sekolah Daerah Kubang Pasu Kali Ke 32 di Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Anum. - Foto Mohd Sharumnisham Shahbudin

Naik taraf LTSAH lonjak ekonomi Kedah

KUBANG PASU: Projek menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH) kepada lapangan terbang bertaraf antarabangsa bakal membawa limpahan ekonomi kepada rakyat Kedah.

Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Seri Mohd Johari Baharom, berkata selain bakal meningkatkan kemasukan pelancong asing, ia juga dapat menarik lebih banyak pelaburan ke negeri ini.

Beliau yakin ianya dapat mempercepatkan usaha kerajaan Kedah mencapai status negeri maju setanding negeri lain.

"Secara tidak langsung, penduduk Kedah, terutamanya di daerah Kubang Pasu dapat menikmati kesan positif daripada projek naiktaraf itu," katanya ketika ditemui selepas merasmikan kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) Kubang Pasu ke 32 di Stadium Mini, Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Anum di sini, hari ini.

Sabtu lalu, Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan kerajaan akan menaiktaraf LTAH yang terletak di Kepala Batas kepada lapangan terbang antarabangsa dalam tempoh lima tahun.

Perdana Menteri membuat pengumuman itu pada majlis perasmian penutup Ekspo Muafakat Kedah 2018 yang berlangsung di Stadium Darul Aman di sini.

Mohd Johari yang juga Timbalan Menteri Pertahanan berkata, projek itu adalah selari dengan langkah kerajaan pusat mewujudkan Zon Ekonomi Sempadan Khas (Special Border Economic Zone) di Bukit Kayu Hitam.

"Sebagai daerah yang berdekatan dengan sempadan Malaysia-Thailand, projek berimpak besar ini akan memberi faedah besar kepada rakyat Kedah sekaligus mampu menjadi agen pertumbuhan baru kepada ekonomi negeri.

"Kita amat berterima kasih kepada Perdana Menteri atas komitmen tinggi beliau untuk terus membawa pembangunan ke Kedah," katanya lagi.

Berita Harian X