Ahad, 4 March 2018 | 12:51pm
ABDUL Rahman bergambar kenangan dengan sebahagian penerima bantuan beg sekolah pada Majlis Perasmian Program Inisiatif Memperkasa Pendidikan, Pekerjaan dan Keusahawanan (IMPAK18) di Kota Kinabalu. - Foto Malai Rosmah Tuah

IMPAK18 platform khidmat perniagaan, keusahawanan

KOTA KINABALU: Siri jelajah program IMPAK18 TERAJU menemui penduduk Sepanggar, hari ini, selaras dengan usaha kerajaan mewujudkan lebih banyak peluang pendidikan, pekerjaan dan keusahawanan bagi golongan bumiputera.

IMPAK18 anjuran bersama Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan Kumpulan Yayasan Sabah itu menyediakan platform untuk rakyat mendapatkan khidmat nasihat perniagaan dan keusahawan.

Selain itu, program itu juga memberi peluang kepada pengunjung untuk mendapatkan maklumat peluang pekerjaan dan pendidikan yang disediakan oleh agensi kerajaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, berkata, program IMPAK18 yang dilaksanakan ini adalah kesinambungan Hala Tuju Transformasi Ekonomi Bumiputera dan Transformasi Kesejahteraan Bumiputera.

Katanya, ia adalah satu siri jalinan hubungan bersama komuniti setempat yang pada asasnya menggabungkan tiga komponen penting iaitu pendidikan, pekerjaan dan keusahawanan.

Ketiga-tiga komponen ini adalah asas penting dalam membangunkan kesejahteraan komuniti Bumiputera umumnya.

"Untuk membangunkan negara dan membina anak bangsa, perkara paling penting adalah dengan membina asas pendidikan atau modal insan,"katanya ketika berucap merasmikan program IMPAK18, di One Borneo Hypermall, di Jalan Sulaman di sini, hari ini.


ABDUL Rahman (kanan) melawat tapak pameran pada Majlis Perasmian Program Inisiatif Memperkasa Pendidikan, Pekerjaan dan Keusahawanan (IMPAK18) di Kota Kinabalu. - Foto Malai Rosmah Tuah

Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif TERAJU, Datuk Husni Salleh dan Pemangku Ketua Bahagian Umno Sepanggar, Datuk Yakub Khan.

Abdul Rahman berkata, mengikut rekod terkini, kadar pengangguran di negara ini hanyalah 3.4 peratus dan ini adalah ekoran penghasilan 360 ribu pekerjaan tahun lalu.

Katanya, bagi negeri Sabah pula, sebanyak 52,600 peluang pekerjaan terhasil pada tahun 2016 dan keseluruhan 553,000 peluang pekerjaan sejak 2010.

"Segala perancangan yang dilakukan khususnya dengan membawa pelaburan adalah hasil usaha kerajaan persekutuan dan negeri dengan aspirasi merangsang penciptaan pekerjaan untuk menjana pendapatan untuk rakyat Sabah.

"Ini dibuktikan dengan pendapatan bulanan isi rumah di Sabah yang meningkat lebih sekali ganda sejak 2009 daripada RM2,087 kepada RM4,123 ketika ini," katanya.

Menurutnya, lebih banyak lagi yang boleh dilakukan bagi meningkatkan pembabitan bumiputera dalam meningkatkan ekonomi secara menyeluruh.

"Kerajaan akan sentiasa melipatgandakan usaha bagi memastikan usahawan bumiputera terus diperkasa dan diberi lebih peluang di masa hadapan," katanya.

Berita Harian X