Ahad, 18 Februari 2018 | 12:03pm
PENDUDUK Kampung Gambaron Syaiful Anthony Stephen,32, menunjukkan meriam PVC atau 'ladum' yang digunakan bagi menghalau gajah daripada menyerang tanaman penduduk di Telupid. - Foto Poliana Ronnie Sidom.
PENDUDUK Kampung Gambaron Syaiful Anthony Stephen,32, menunjukkan meriam PVC atau 'ladum' yang digunakan bagi menghalau gajah daripada menyerang tanaman penduduk di Telupid. - Foto Poliana Ronnie Sidom.
GAJAH berkeliaran di kawasan rumah penduduk di Kampung Gambaron, Telupid.
GAJAH berkeliaran di kawasan rumah penduduk di Kampung Gambaron, Telupid.

Guna meriam PVC halau gajah

TELUPID: Sekumpulan anak muda, di sini, mengambil inisiatif membuat meriam menggunakan paip polivinil klorida (PVC) atau 'ladum' dalam bahasa tempatan Sabah bagi menghalau gajah daripada mengganggu harta benda dan tanaman penduduk.

Langkah itu diambil selepas melihat kekurangan anggota dan kesukaran dihadapi Jabatan Hidupan Liar (JHL) dan Unit Penyelamat Hidupan Liar (WRU) untuk menghalau haiwan itu, yang ketika ini memberi ancaman di enam lokasi.

Syaiful Anthony Stephen, 32, dari Kampung Gambaron, di sini berkata, tiga hingga lapan orang membuat pemantauan setiap malam hingga subuh, sejak sekumpulan gajah menceroboh kampung mereka bermula awal tahun ini.

Katanya, mereka membuat bahan letupan sendiri daripada paop PVC, botol plastik dan pemetik gas dengan menggunakan cecair spirit sebagai peledak dan kon keselamatan sebagai pengganti pembesar suara bagi menghalau haiwan berkenaan masuk semula ke hutan.

"Selain belajar daripada WRU, kami 'google' untuk lihat bagaimana 'ladum' dibuat masyarakat Indonesia.

"Kami cuma mahu bantu JHL dan WRU halau gajah sebab mereka tak cukup kakitangan untuk diletakkan di setiap lokasi yang berdepan masalah gajah.

"Sebelum ini, paling lama gajah ada di sini satu atau dua minggu, namun sekarang agak lama iaitu lebih sebulan. Bilangan gajah yang masuk kampung juga semakin banyak, terpisah-pisah dan sukar dikawal.

"Haiwan ini bukan saja rosakkan tanaman, malah ganggu harta benda penduduk terutama kereta," katanya ketika ditemui.

Enam kawasan yang terdedah pada risiko gangguan gajah adalah Kampung Liningkung, Kampung Bauto, Kampung Gambaron, Kampung Telupid, Pekan Telupid, selain Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Telupid.

Sebelum ini, Pengarah JHL, Augustine Tuuga, berkata sebanyak 20 ekor gajah dikesan dalam dua kumpulan berasingan, dipercayai dari Hutan Simpan Deramakot dan Segaliud, berada di kawasan berkenaan.

Katanya, gajah itu dipercayai kumpulan yang sama menceroboh kampung itu tahun lalu.

Syaiful berkata, penduduk khususnya belia juga berharap ada usaha diambil pihak berkaitan bagi memperkenalkan daerah itu sebagai lokasi pelancongan baharu susulan kehadiran gajah yang semakin kerap di kawasan itu.

"Kawasan ini sudah jadi laluan gajah kerana selang tiga atau empat bulan, gajah datang semula ke kampung selepas dihalau ke hutan.

"Sebagai belia, sudah tentu kami berharap Telupid akan jadi seperti Sukau, yang terkenal kepada pelancong luar negara kerana ada gajah Pigmi Borneo.

"Ini akan membuka pelbagai peluang kepada penduduk terutama belia bagi meningkatkan ekonomi," katanya.

Berita Harian X