Khamis, 15 Februari 2018 | 6:42pm
MENTERI Kewangan II Sarawak, Datuk Seri Wong Soon Koh. - Foto Harun Yahya
MENTERI Kewangan II Sarawak, Datuk Seri Wong Soon Koh. - Foto Harun Yahya

Sarawak yakin terus jadi destinasi pelaburan utama China

SIBU: Sarawak yakin terus menjadi destinasi pelaburan pilihan utama China melalui pelbagai kelebihan negeri ini, terutama iklim ekonomi yang kondusif dan kepelbagaian sumber dimiliki.

Menteri Kewangan II Sarawak, Datuk Seri Wong Soon Koh, berkata inisiatif '1 Jalur, 1 Jalan' diperkenalkan China perlu dimanfaatkan sepenuhnya bagi memperkukuh ekonomi negeri.

"Usaha kita pergi ke China untuk menarik pelaburan masuk ke Sarawak, sudah mula membuahkan hasil. Contohnya, jalan pesisir diluluskan kerajaan negeri, bakal dibangunkan bersama sebuah syarikat China.

"Ia bakal membantu menghubungkan pekan dan bandar di pesisir pantai negeri ini, selain dapat menjadi pemangkin aktiviti ekonomi penduduk di sepanjang jajaran jalan itu," katanya.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan e-Dagang Sarawak berkata demikian dalam temu bual khas sempena Tahun Baharu Cina di sini, semalam.

Soon Koh berkata, selain pelaburan RM11.7 bilion dalam kilang besi di Taman Perindustrian Samalaju, Bintulu, syarikat China juga berminat terhadap pembangunanan industri pelancongan di negeri ini.

"Satu kumpulan syarikat besar negara itu sedang berunding dengan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) untuk menyewa atau mengambil alih dua hotel miliknya bagi menyediakan kemudahan lebih baik kepada pelancong luar, terutama dari China," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, ekonomi negeri ini masih dalam landasan kukuh walaupun berhadapan ketidaktentuan ekonomi dunia.

"Sepanjang tahun lalu, ekonomi kita masih mengembang hingga 4.5 peratus walaupun dalam keadaan penurunan ekonomi dunia," katanya.

Berita Harian X