Selasa, 13 Februari 2018 | 7:14pm
PENGARAH SPRM Johor, Datuk Azmi Alias (kiri) diiringi Datuk Bandar MBJB, Amran A Rahman (dua dari kanan) menunjukkan pelekat bebas rasuah sebagai simbolik perasmian program Gempur bersama Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) di Pejabat Utama MBJB, Johor Bahru. - Foto Nurul Amanina Suhaini
PENGARAH SPRM Johor, Datuk Azmi Alias (kiri) diiringi Datuk Bandar MBJB, Amran A Rahman (dua dari kanan) menunjukkan pelekat bebas rasuah sebagai simbolik perasmian program Gempur bersama Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) di Pejabat Utama MBJB, Johor Bahru. - Foto Nurul Amanina Suhaini

SPRM siasat 74 aduan babit PBT

JOHOR BAHRU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor menyiasat 74 aduan terhadap pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini.

Pengarahnya, Datuk Azmi Alias, berkata aduan itu membabitkan isu pentadbiran dan penyelewengan, selain salah guna kuasa, menerima dan meminta rasuah.

"Kami menerima 74 aduan membabitkan PBTdi negeri ini sepanjang tahun lalu hingga Januari lalu.

"Di Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) sahaja, bagi tempoh tiga tahun, ada 20 maklumat yang kita sedang siasat. Tohmahan ini membabitkan pegawai PBT sendiri dan ahli majlis," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Program Gempur bersama MBJB di Pejabat Utama MBJB, di sini, hari ini. Yang turut hadir, Datuk Bandar MBJB, Amran A Rahman.

Azmi berkata, modul bebas rasuah yang diamalkan oleh PBT boleh meningkatkan kutipan hasil atau kompaun.

Sebagai contoh, katanya, modul bebas rasuah yang dipraktikkan oleh Majlis Perbandaran Kluang (MPK) berjaya memperoleh kutipan kompaun berjumlah RM1.5 juta pada tahun lalu, berbanding RM650,000 pada tahun sebelumnya.

Selain itu Azmi berkata, Gempur adalah program di bawah Gerakan Revolusi Anti Rasuah (GERAH), yang juga penjenamaan semula bagi Kempen Pemberi Rasuah, diperkenalkan pada tahun 2010.

Katanya, program itu bertujuan membersihkan perkhidmatan penjawat awam daripada jenayah rasuah dan salah guna kuasa.

Beliau berkata, ia menjadi pelengkap bagi Kempen 3J, yang merujuk kepada Jangan Hulur, Jangan Kawtim, Jangan Settle, sekali gus memberi fokus kepada orang awam yang mengamalkan rasuah.

Dalam perkembangan berkaitan, Azmi berkata, SPRM Johor memberi penghargaan berjumlah RM30,990 kepada penjawat awam yang membantu dalam membanteras gejala rasuah sepanjang tempoh 2013 hingga tahun lalu.

Berita Harian X