Selasa, 6 Februari 2018 | 1:35pm

Percepat cadangan latih belia kawal gajah

TELUPID: Cadangan untuk melatih kumpulan sukarelawan belia kampung di daerah ini yang terdedah kepada ancaman gajah perlu dipercepatkan bagi mengelak insiden buruk.

Ia susulan kehadiran gajah yang menceroboh perkampungan bulan lalu hingga merosakkan tanaman dengan terbaharu sekurang-kurangnya 20 gajah dalam dua kumpulan berasingan dikesan berada berhampiran beberapa kawasan kampung, sejak awal tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Gambaron, Morius Jeffrey, berkata sebelum ini ada cadangan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan hidupan liar bagi melatih kumpulan belia dengan langkah pengawalan dan pengendalian gajah.

Bagaimanapun, katanya, langkah itu belum dilaksanakan menyebabkan sekumpulan belia dari Kampung Gambaron mengambil inisiatif sendiri membuat bahan letupan bagi menghalau gajah yang menghampiri kawasan kampung.

"Kami ada memaklumkan kepada pihak Jabatan Hidupan Liar berkaitan inisiatif ini dan kami juga mengingatkan belia agar berhati-hati kerana mereka belum dilatih.

"Kehadiran gajah dalam jumlah yang besar membimbangkan penduduk kerana lebih banyak tanaman diganggu, selain berdepan ancaman keselamatan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Morius berkata, penduduk juga berharap kerajaan menyediakan bantuan bagi pemasangan pagar elektrik kepada penduduk susulan sering berdepan kerugian apabila tanaman mereka dirosakkan hidupan liar berkenaan.

Katanya, enam kawasan yang terdedah kepada risiko gangguan gajah adalah Kampung Liningkung, Kampung Bauto, Kampung Gambaron, Kampung Telupid, Pekan Telupid, selain Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Telupid.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, Augustine Tuuga, berkata tujuh anggota daripada tiga pasukan membabitkan Unit Penyelamat Hidupan Liar, Jabatan Hidupan Liar Kinabatangan dan Sandakan ditempatkan di daerah ini bagi melakukan pengawalan gajah.

Katanya, sebanyak 20 ekor gajah dikesan dalam dua kumpulan berasingan dipercayai dari Hutan Simpan Deramakot dan Segaliud berada di kawasan berkenaan.

"Ia adalah kumpulan gajah yang sama pernah dipindahkan ke Hutan Simpan Deramakot, tetapi bergerak semula ke Telupid. Kami cuba membuat kawalan gajah terlebih dahulu kerana untuk memindahkan haiwan itu memerlukan kos yang tinggi iaitu RM30,000 seekor," katanya.

SEKUMPULAN gajah yang menceroboh dan merosakkan tanaman di kawasan perkampungan penduduk, di Telupid. - Foto ihsan pembaca
SEKUMPULAN gajah yang menceroboh dan merosakkan tanaman di kawasan perkampungan penduduk, di Telupid. - Foto ihsan pembaca
Berita Harian X