Khamis, 1 Februari 2018 | 7:13pm
HAKIM Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu, Ainul Shahrin Mohamad (dua dari kiri) bersama Noorliza Awang Alip (tiga dari kiri) melakukan tinjauan ketika operasi mengejut kebersihan DBKK di Kampung Air Sembulan. - Foto Khairull Azry Bidin

Sampah: 17 pemilik rumah kampung air disaman

KOTA KINABALU: Seramai 17 pemilik rumah di kampung air di Sembulan di sini, dikenakan saman oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) hari ini berikutan gagal membersihkan sampah sarap di kawasan kediaman masing-masing.

Semua pemilik rumah terbabit dikenakan saman untuk hadir ke mahkamah mengikut Undang-Undang Kecil 3(a) Undang-Undang Kecil Anti Sampah Sarap Bandaraya Kota Kinabalu 2005.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) DBKK, Noorliza Awang Alip, berkata saman dikeluarkan kepada pemilik rumah selepas didapati melakukan kesalahan meletak, membuang dan melonggok sampah di kawasan bawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan itu.

Katanya, operasi itu akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi mengatasi masalah sampah di kampung air di Sembulan, berbanding hanya kompaun, amaran dan gotong-royong sebelum ini.

"Sejak dilancarkan pada Julai 2016, DBKK sudah mengeluarkan keseluruhan 98 saman kepada penduduk yang didapati gagal membersihkan kawasan rumah masing-masing.

"Hari ini, kita mengeluarkan saman secara terus kepada pemilik rumah dan mereka diarahkan hadir ke mahkamah," katanya selepas meninjau kawasan perumahan berkenaan, petang tadi.

Noorliza berkata, hasil tinjauan mendapati kawasan perkampungan blok satu dan empat di kampung air di Sembulan dilihat masih kotor dan memerlukan tindakan tegas segera.

Berita Harian X