Khamis, 1 Februari 2018 | 3:53pm
TAN Sri Lee Lam Thye menyampaikan sijil penghargaan kepada wakil industri pada Majlis Penghargaan NIOSH di sebuah hotel, di Sandakan. - Foto Poliana Ronnie Sidom
TAN Sri Lee Lam Thye menyampaikan sijil penghargaan kepada wakil industri pada Majlis Penghargaan NIOSH di sebuah hotel, di Sandakan. - Foto Poliana Ronnie Sidom

Pasport keselamatan untuk industri ladang kelapa sawit

SANDAKAN: Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) sedang berusaha memperkenalkan penggunaan Sistem Pasport Keselamatan kepada industri perladangan kelapa sawit.

Pengerusinya, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata perladangan kelapa sawit adalah antara sektor yang memerlukan ramai tenaga kerja dan khidmat kontraktor bagi merekrut pekerja.

Katanya, NIOSH boleh membantu industri itu dengan mengeluarkan pasport keselamatan kepada pekerja dan kontraktor selepas mengikuti Program Induksi Keselamatan yang menyediakan latihan mengenai kesedaran serta ilmu asas berkaitan undang-undang keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.

"Sistem ini sudah digunakan di Semenanjung dan Sabah. Namun, kita mahu ia diperkenalkan kepada perladangan kelapa sawit kerana industri ini antara yang menggunakan ramai pekerja.

"Selain perladangan kelapa sawit, kita boleh membantu mana-mana industri yang memerlukan, termasuk pelabuhan," katanya pada sidang media selepas Majlis Penghargaan Pelanggan NIOSH di sini, hari ini.

Terdahulu dalam ucapannya, Lam Thye menggesa sektor awam dan swasta memperbaharui komitmen mereka melaksanakan budaya keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) di semua tempat kerja.

Beliau berkata, setiap pengurusan organisasi perlu menggandakan usaha dalam amalan keselamatan dan kesihatan, sekali gus mengurangkan jumlah kemalangan di tempat kerja.

"Majikan perlu berusaha meningkatkan pengetahuan dan kefahaman pekerja mengenai keselamatan dan kesihatan menerusi program kesedaran, pengurusan KKP yang berkesan, kecekapan serta budaya pencegahan kemalangan.

"Kita ada undang-undang dan peraturan, namun tidak bermakna jika aspek KKP tidak dijadikan budaya di tempat kerja. Justeru, majikan perlu lebih proaktif meningkatkan kemahiran dan kompetensi diperlukan menerusi pendidikan serta latihan supaya pekerja memahami rasional mengurangkan risiko keselamatan dan kesihatan serta keperluan sistem pengurusan KKP," katanya.

Berita Harian X