Selasa, 30 Januari 2018 | 7:32pm

Bantuan zakat IPT tanpa orang tengah

KUALA LUMPUR: Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menyalurkan Bantuan Am Pelajaran Institut Pengajian Tinggi (IPT) kepada pelajar tanpa melalui orang tengah bagi mengelakkan penipuan serta salah faham.

Pengurus Baitulmal MAIWP, Mohd Nizam Yahya, berkata mengikut prosedur itu, pelajar dalam kalangan anak-anak asnaf akan menerima bayaran menerusi akaun bank masing-masing.

Katanya, setakat ini pihak Baitulmal MAIWP tidak pernah menerima aduan mengenai kegagalan pihak universiti dalam pengagihan bantuan zakat kepada pelajar kerana amalan pembayaran secara terus berkenaan.

"Jumlah peruntukkan penerima bantuan berbeza mengikut tahap pendidikan serta jenis program yang ditawarkan.

"Contohnya, pelajar yang ditawarkan program ijazah akan menerima antara RM3,000 hingga RM5,000 setahun, pelajar Diploma pula RM2,000 dan peringkat sijil adalah RM1,000 setahun.

"Jumlah peruntukkan diberi mengikut formula pengiraan had kifayah ketua keluarga masing-masing," katanya ketika dihubungi BH di sini, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan seorang bekas pelajar sebuah kolej swasta milik Kerajaan Kedah terkejut apabila mendapati elaun zakat yang sepatutnya diterima RM400 setahun sepanjang enam tahun pengajiannya dipotong tanpa dimaklumkan perincian berhubung perkara itu.

Dalam pada itu, jelas beliau kaedah pembayaran berbeza di bawah Skim Bantuan Biasiswa Pelajar Cemerlang Baitulmal yang disalurkan terus ke akaun bendahari pusat pengajian tinggi masing-masing.

Skim ini diberi kepada pelajar di Institut Pengajian Tinggi Awam sahaja dan jumlahnya berbeza mengikut bidang pengajian yang ditawarkan.

"Contohnya bagi bidang perundangan, sebanyak RM11,655 diperuntukkan manakala pelajar bidang perubatan pula menerima RM14,045. Bagi bidang kejuruteraan pula sebanyak RM12,205 setahun.

"Selepas kos yuran pengajian ditolak, pihak bendahari universiti akan memasukkan baki wang zakat berkenaan ke akaun pelajar masing-masing bagi tujuan sara hidup mereka," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut meminta kerjasama pihak universiti atau kolej bagi memaklumkan perincian pembayaran berkenaan bagi mengelakkan sebarang keraguan.

"Bagi pelajar di institut pengajian tinggi swasta pula, kami menetapkan bantuan diberi kepada kursus-kursus pengajian yang memperoleh akreditasi dari Agensi Kelayakan Malaysia.

"Baitulmal MAIWP memperuntukkan sebanyak RM120 juta setahun khusus untuk bantuan pendidikan dari peringkat sekolah rendah hingga pengajian tinggi," katanya.

Berita Harian X