Selasa, 30 Januari 2018 | 6:56pm
DATUK Seri Idris Haron. - Foto Rasul Azli Samad
DATUK Seri Idris Haron. - Foto Rasul Azli Samad

Thaipusam: Melaka benar pelepasan kerja penjawat awam Hindu

AYER KEROH: Kira-kira 800 penjawat awam beragama Hindu di Melaka diberi pelepasan kerja tanpa rekod bagi membolehkan mereka menyambut perayaan Thaipusam, esok.

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron, berkata perkara itu diputuskan menerusi mesyuarat EXCO negeri yang diadakan 10 Januari lalu kerana Thaipusam bukan cuti umum di negeri ini.

"Kerajaan negeri bersetuju kakitangan beragama Hindu yang berkhidmat di jabatan serta agensi kerajaan negeri diberi pelepasan kerja esok sempena sambutan Thaipusam.

"Bagaimanapun, ia tertakluk kepada kebenaran ketua jabatan kakitangan berkenaan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Pelepasan itu adalah yang kedua dilaksanakan di Melaka sebagai usaha memberi kemudahan kepada kakitangan beragama Hindu menyambut upacara keagamaan mereka di Batu Caves, Selangor.

Melaka antara negeri yang tidak menjadikan sambutan Thaipusam sebagai cuti umum, selain Terengganu, Sarawak, Sabah, Perlis, Pahang, Kelantan dan Kedah.

Sementara itu, Idris berkata, kepelbagaian agama, budaya dan perayaan yang disambut masyarakat di Malaysia adalah kelebihan dan kekuatan yang mengukuhkan perpaduan rakyat.

"Perpaduan dan keharmonian itu bukan sekadar luahan retorik, tetapi perlu diterjemah dengan penuh keikhlasan tanpa sebarang prejudis atau persepsi negatif dalam kalangan rakyat.

"Hayati perayaan setiap kaum dan agama di Malaysia sebagai satu semangat perpaduan dalam kalangan kita kerana dengan cara itu, ia mampu menjadikan negara lebih harmoni dan sejahtera," katanya.

Berita Harian X