Khamis, 25 Januari 2018 | 3:23pm
PENOLONG Setiausaha Kerajaan (Pelancongan dan Kebudayaan) JPNT, Wan Mohd Firdaus Wan Sembak. - Foto Syarafiq Abd Samad
PENOLONG Setiausaha Kerajaan (Pelancongan dan Kebudayaan) JPNT, Wan Mohd Firdaus Wan Sembak. - Foto Syarafiq Abd Samad

Festival Mek Awang bakal meriahkan Tahun Baru Cina

KUALA TERENGGANU: Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT) buat julung kalinya menganjurkan Festival Mek dan Awang Balik Kampung sempena Sambutan Tahun Baru Cina tidak lama lagi di Kampung Cina, di sini.

Festival yang akan berlangsung selama tiga hari bermula 1 hingga 3 Febuari itu turut mendapat kerjasama daripada Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Terengganu (DPPCT).

Penolong Setiausaha Kerajaan (Pelancongan dan Kebudayaan) JPNT, Wan Mohd Firdaus Wan Sembak, berkata festival yang baharu sahaja dimasukkan dalam kalendar pelancongan Terengganu pada tahun itu bakal menyajikan pelbagai aktiviti menarik kepada pengunjung termasuk perantau yang pulang ke Kampung Cina.

Katanya, DPPCT juga mengambil inisiatif menjenamakan program berkenaan sebagai nilai tambah kepada festival lain di kampung berkenaan seperti Festival Peranakan Terengganu dan Festival Perarakan Mazu.

"Pelbagai aktiviti menarik akan berlangsung sepanjang festival ini antaranya aktiviti jualan peranakan, persembahan tarian singa, perarakan maskit bersama Mek dan Awang, tarian kebudayaan, agihan buah limau dan beras secara percuma, pertunjukan jalanan, demonstrasi membuat kuih dan sebagainya.

"Kami berharap festival ini dapat mengetengahkan lagi produk kaum Peranakan Terengganu sebagai salah satu tarikan pelancongan sempena Beautiful Terengganu, Malaysia yang sedang berlangsung," katanya.

Wan Mohd berkata, melalui festival itu, pihaknya juga berharap negeri ini bukan sahaja terkenal dengan keindahan cluster pantai, pulau dan eko pelancongan, malah dikenali dengan keunikan produk seni, budaya dan warisan.

"Harapan kerajaan negeri untuk melihat Kampung Cina dapat dijenamakan sebagai tarikan unik dan mampu menggamit kehadiran lebih ramai pelancong sekali gus menyelami sendiri kelestarian tradisi yang cukup unik ini," katanya.

Berita Harian X