Selasa, 23 Januari 2018 | 3:56pm
PENGARAH JBPM Kedah, Abd Razak Muda menandatangi perasmian sangkar ular di Taman Astakona BBP Alor Setar. - Foto Zuliaty Zulkifli
PENGARAH JBPM Kedah, Abd Razak Muda menandatangi perasmian sangkar ular di Taman Astakona BBP Alor Setar. - Foto Zuliaty Zulkifli

Bomba Kedah wujud unit tangkap ular

ALOR SETAR: Jabatan Bomba dan Penyelamat Kedah menerima sebanyak 1,129 kes membabitkan khidmat khas menangkap ular, termasuk spesies berbisa sepanjang tahun lalu.

Pengarahnya, Abd Razak Muda, berkata jumlah itu agak tinggi yang membabitkan tangkapan ular di dalam atau luar rumah.

"Kes yang paling banyak diterima adalah di Sungai Petani, Padang Terap, Alor Setar dan Langkawi, dengan kebanyakan kes membabitkan ular bersaiz besar serta berbisa," katanya ketika ditemui selepas Majlis Perhimpunan Bulanan di JBPM Kedah, hari ini.

Justeru, katanya, pihaknya akan mewujudkan pasukan khas untuk menangani kes berkaitan ular atau haiwan berbisa di negeri ini.

Katanya bomba akan melatih lebih ramai anggota serta pegawai dengan kemahiran dalam bidang berkenaan, dengan dikendalikan jurulatih bertauliah.

Beliau berkata, anggota dan pegawai terbabit akan turut dilatih kemahiran menangkap ular dan haiwan berbisa menggunakan tangan selain dengan peralatan yang dibekalkan oleh jabatan.

"Kita tak boleh melatih semua anggota kerana ia memerlukan kos yang tinggi, jadi kita akan memilih mereka yang berkemampuan dalam menangani reptilia berbisa ini.

Terdahulu, beliau turut merasmikan Taman Astakona di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar membabitkan penyediaan sangkar menempatkan dua spesis ular iaitu jenis sawa dan tedung senduk tikus.

Abd Razak berkata, setakat ini anggota dan pegawai yang terpilih akan mengikuti Subjek Material Expert (SME) iaitu subjek dalam konteks pengajaran dan penggunaan untuk menangani reptilia berbisa ini terutama di kawasan yang banyak menerima panggilan berkaitan ular.

Mengenai penyediaan sangkar ular, beliau berkata setakat ini ia siap sepenuhnya di BBP Alor Setar, manakala 15 BBP lain di negeri ini masih dalam pembinaan dan pengubahsuaian yang dilakukan secara berperingkat kerana memerlukan kos yang agak tinggi.

"Tujuan pembinaan sangkar ular itu bukan untuk menyimpan dan mengumpul ular, tetapi untuk melatih anggota mempelajari cara mengendalikan ular yang ditangkap.

"Kita akan menempatkan ular sawa dan tedung selar di sini untuk tatapan pelawat selain memberi pengetahuan kepada mereka bagaimana untuk menangani reptilia berbisa sekiranya ditemui di kawasan rumah mereka.

"Selain itu, anggota kita juga akan memberi penerangan bagaimana untuk mengurangkan risiko dipatuk ular dan sebagainya yang berkaitan dengan reptilia itu," katanya.

Dalam perkembangan lain, Abd Razak berkata, balai bomba baru iaitu BBP Amanjaya di Sungai Petani yang dikategorikan kelas C  yang sudah siap sepenuhnya sudah beroperasi, manakala dua lagi BBP baharu iaitu di Pokok Sena, Pendang dan Ibu Pejabat JBPM Kedah dijangka siap sepenuhnya April depan.

Beliau berkata, satu lagi BBP baharu akan dibina di Padang Mat Sirat, Langkawi yang biasanya mengambil masa sekurang-kurangnya dua tahun untuk siap.

Berita Harian X