Khamis, 18 Januari 2018 | 3:14pm
 MENTERI Muda Kerajaan Tempatan, Datuk Dr Penguang Manggil menyampaikan cek kepada wakil NGO di Marudi. - Foto Kandau Sidi
MENTERI Muda Kerajaan Tempatan, Datuk Dr Penguang Manggil menyampaikan cek kepada wakil NGO di Marudi. - Foto Kandau Sidi

Jalan Marudi-Miri siap bulan depan

MARUDI: Kerajaan negeri memberi jaminan kerosakan teruk di beberapa kawasan Jalan Marudi-Miri, dapat diatasi sepenuhnya sebelum sambutan Tahun Baru Cina.

Menteri Muda Kerajaan Tempatan, Datuk Dr Penguang Manggil yang meninjau kerosakan jalan itu berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) sudah dimaklumkan mengenai keadaan jalan berkenaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi itu berkata, JKR dan kontraktor berkaitan akan membaiki kerosakan jalan itu secepat mungkin.

"Namun, saya berjanji sebelum perayaan Tahun Baru Cina, jalan berkenaan akan berada dalam keadaan baik dan ia akan memudahkan mereka yang akan balik ke Marudi bagi menyambut perayaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi dialog dengan masyarakat Cina dan penyampaian cek kepada pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di sini, hari ini.

Dr Penguang berkata, bagi laluan dari Jambatan Sungai Arang menuju ke Feri Nanga Ridan, projek itu akan diserahkan kepada syarikat Cahaya Mata Sdn Bhd untuk dinaik taraf dan diturap.

Beliau berkata, banyak projek di kawasan DUN Marudi sudah dilaksanakan di bawah projek Transformasi Luar Bandar, antaranya projek pembinaan benteng Sungai Baram bernilai RM9.6 juta, kerja menaik taraf tebing Sungai Baram (RM8 juta) dan pembinaan rumah ibadat.

Berita Harian X