Sabtu, 13 Januari 2018 | 2:54pm
ARSIT Sedi (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan beg kepada peserta pada Majlis Penyampaian Bantuan Awal Persekolahan 2018 oleh Koperasi Pembangunan Usahasama Masyarakat Maju Sabah Berhad (Kop-PUSAMAJU) di Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Petagas, Putatan. - Foto Raziq Zayad
ARSIT Sedi (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan beg kepada peserta pada Majlis Penyampaian Bantuan Awal Persekolahan 2018 oleh Koperasi Pembangunan Usahasama Masyarakat Maju Sabah Berhad (Kop-PUSAMAJU) di Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Petagas, Putatan. - Foto Raziq Zayad

Bina sekolah menengah di Petagas

PUTATAN: UMNO Bahagian Putatan akan memohon pembinaan sekolah menengah dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Petagas kepada kerajaan Persekutuan.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Putatan, Datuk Arsit Sedi, berkata pembinaan sekolah menengah di Petagas bagi menampung keperluan pelajar yang semakin meningkat, sejajar dengan kepesatan pembangunan.

"Pembinaan sekolah baharu itu perlu memandangkan kapasiti penduduk di daerah ini semakin meningkat dari semasa ke semasa.

"Saya sendiri sudah berjumpa dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berhubung permohonan pembinaan sekolah ini.

"Kita berharap impian untuk melihat pembinaan sekolah menengah di Petagas akan menjadi kenyataan," katanya kepada media selepas Majlis Penyampaian Bantuan Awal Persekolahan 2018 oleh Koperasi Pembangunan Usahasama Masyarakat Maju Sabah Berhad (Kop-PUSAMAJU) di sini, hari ini.

Majlis berlangsung di Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Petagas itu turut dihadiri Pegawai Pendidikan Daerah Penampang, Mojuntin Ibin.

Sempena majlis itu, seramai 160 murid dari lapan sekolah sekitar Putatan menerima bantuan beg sekolah dan alat tulis yang disumbangkan Kop-PUSAMAJU.

Sementara itu, Arsit berkata, jentera UMNO bahagian itu kini berada dalam landasan tepat untuk mempertahankan kerusi Parlimen dan dua Dewan Undangan Negeri (DUN), iaitu Tanjung Aru dan Petagas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

"Kita sudah menggerakkan pelbagai usaha termasuk elemen Jalinan Rakyat Plus bagi memenangi hati pengundi.

"Dari sudut momentum, jentera Barisan Nasional (BN) terutama UMNO kini bersedia untuk mengulangi kejayaan lalu dan meraih majoriti besar," katanya.

Berita Harian X