Jumaat, 12 Januari 2018 | 2:58pm
PEGAWAI Penguatkuasa Majlis Bandaraya Miri (MBM) merampas buah-buahan bermusim yang dijual di lokasi yang diharamkan MBM. - Foto NSTP
PEGAWAI Penguatkuasa Majlis Bandaraya Miri (MBM) merampas buah-buahan bermusim yang dijual di lokasi yang diharamkan MBM. - Foto NSTP

MBM sedia lokasi jual buah bermusim

MIRI: Majlis Bandaraya Miri (MBM) menetapkan kawasan tempat letak kenderaan di Stadium Tertutup Miri sebagai lokasi sah menjual buah-buahan bermusim.

Pegawai Tadbir MBM, Tay Boon Pang berkata, langkah itu diambil untuk memastikan penjual buah bermusim seperti durian, rambutan, dabai dan sebagainya tidak menghalang lalu lintas yang mengakibatkan kesesakan.

Beliau berkata, MBM akan mengambil tindakan serius termasuk mengeluarkan saman terhadap peniaga yang masih degil dan menjual buah-buahan bermusim di tempat letak kereta secara haram. 

"Ia bertujuan memastikan peniaga buah-buahan bermusim mematuhi peraturan ditetapkan MBM," katanya, hari ini.

Tay berkata, pihaknya turut menyediakan beberapa tempat letak kereta di Tamu Muhibbah, Pusat Komersil Morsjaya, Boulevard, Commercial Centre sebagai tapak menjual buah-buahan bermusim. 

Namun, beliau berkata, peniaga dikehendaki memohom permit sementara secara bulanan atau mingguan sebelum dibenarkan menjual buah-buahan bermusim di lokasi ditetapkan. 

"Bagi permit untuk tempoh sebulan, yurannya ialah RM150, manakala mingguan ialah RM50.

" Permit boleh diperoleh daripada pejabat MBM di Miri," katanya. 

Berita Harian X