KUALA LUMPUR: Pembangunan Kampung Baru di sini perlu dibuat secara beransur-ansur dan sejajar dengan kemampuan ekonomi orang Melayu.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata tanah Kampung Baru milik orang Melayu dan tujuan pembangunannya juga untuk manfaat orang Melayu.
Beliau berkata, Kampung Baru mempunyai nilai sejarahnya yang tersendiri bagi orang Melayu dan pembangunannya perlu berlandaskan perjuangan, dan bukan bermotif keuntungan semata-mata.
"Pembangunan Kampung Baru tidak perlu secara tergesa-gesa. Ia perlu dibuat secara beransur-ansur untuk membawa nilai kepada Kampung Baru.
"Kalau orang Melayu belum bersedia, kita jangan buat pembangunan," katanya.
Beliau berkata demikian pada program perkongsian ilmu bertajuk "Sirkulasi Kampong Bharu 118 Tahun".
Program itu dianjurkan Malay Agricultural Settlement (MAS) Kampung Baru dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM).