Isnin, 8 Januari 2018 | 11:53am
EXCO Perpaduan dan Sumber Manusia Johor, R Vidyanathan (tengah) diiringi Izhar Hifnei Ismail (dua dari kiri), bergambar bersama Pengarah ILP Pasir Gudang, Sarman Rawan (kiri), Pengarah Johor Skills Development Centre (JSDC), Ja'apar Samat (dua dari kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pendidikan YPJ, Abdul Rashid Abdul Rahman (kanan) ketika Majlis Pertukaran Memorandum Perjanjian di Johor Bahru.- Foto Hairul Anuar Rahim

JPDC kerjasama sedia tenaga kerja di PIPC

JOHOR BAHRU: Johor Petroleum Development Corporation Bhd (JPDC) menjalin kerjasama strategik dengan tiga lagi institusi latihan bagi menyediakan keperluan tenaga kerja untuk industri hiliran minyak dan gas di Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC).

Tiga institusi yang akan menjalani latihan industri berkenaan ialah Institut Latihan Perindustrian Pasir Gudang (ILPPG), Kumpulan Pendidikan YPJ (KPYPJ) dan Johor Skills Development Centre (JSDC).

Timbalan Ketua Eksekutif JPDC, Izhar Hifnei Ismail, berkata tiga institusi berkenaan adalah daripada enam yang dikenal pasti agensi itu menerusi Program Pembiayaan Kompetitif, Unit Perancang Ekonomi di Jabatan Perdana Menteri.

Katanya, kerancakan pembinaan Kompleks Pembangunan Bersepadu Penapisan Petrokimia (RAPID) yang dijangka beroperasi menjelang 2019 memerlukan kepakaran tenaga kerja mahir yang tinggi.

"JPDC dipilih sebagai agensi pembangunan industri yang pertama untuk menerima pembiayaan program latihan pertama berjumlah RM2.8 juta menerusi Program Pembiayaan Kompetitif ini.

"Dana diagihkan menerusi Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) itu akan disalurkan kepada semua enam institusi pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) bagi melatih 300 pelatih dalam pelbagai bidang," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pertukaran Memorandum Perjanjian antara JPDC dengan ILPPG, KPYPJ dan JSDC yang disaksikan Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan dan Sumber Manusia negeri, R Vidyananthan.

Izhar Hifnei berkata, program latihan yang terbuka kepada warganegara terutama rakyat Johor berusia antara 18 hingga 36  tahun itu meliputi bidang termasuk penyeliaan keselamatan tapak kerja dan asas penyeliaan keselamatan.

Katanya, ia turut membabitkan latihan kesihatan dan alam sekitar, pemasang perancah tahap 2 dan 3, jentera perindustrian dan pengendalian jentera, pemeriksaan cat serta karat dan teknologi kalibrasi serta instrumen.

"Ia terbuka untuk graduan universiti dan lulusan diploma dalam bidang teknikal berkaitan industri hiliran minyak dan gas yang masih menganggur, lulusan sekolah dengan kelayakan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta lulusan Sijil Kemahiran Malaysia," katanya.

Tahun lalu, JPDC menjalin kerjasama dengan Institut Kemahiran Belia Negara Bandar Penawar (IKBNBP), German-Malaysia Institute (GMI) dan Kolej Komuniti Bandar Penawar serta setakat ini kira-kira 100 orang sudah dilatih.

Berita Harian X