Jumaat, 5 Januari 2018 | 9:30am

SADA komited beri perkhidmatan air

ALOR SETAR: Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (SADA) memperuntukkan RM8 juta bagi mengagihkan air secara percuma kepada pengguna di kawasan mengalami gangguan bekalan air, sepanjang tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif SADA, Datuk Abdul Ghani Zainuddin, berkata jumlah itu sangat tinggi, namun pihaknya perlu memberikan perkhidmatan terbaik kepada pengguna.

Ini berikutan pelbagai projek menaik taraf sedang dilakukan demi memastikan masalah air dapat diselesaikan sepenuhnya menjelang 2020.

"Tahun ini, SADA merancang mengurangkan pengagihan air menggunakan lori yang dibayar oleh SADA, kami mahu salurkan air melalui paip bagi merealisasikan projek naik taraf loji rawatan air (LRA) dan menggantikan paip perlu disiapkan mengikut jadual.

"Penghantaran air menggunakan lori merugikan SADA, tahun ini kami berazam meminimumkan pengagihan air dengan cara terbabit.

"Sekiranya berlaku bencana baru kita akan menghantar bekalan air dengan lori," katanya ketika berucap pada Majlis Muafakat Media bersama SADA di Menara SADA, di sini malam tadi.

Mengikut rekod, tahun lalu, SADA membekalkan kira-kira 2.2 juta liter air sehari kepada penduduk yang menghadapi gangguan bekalan terutama semasa musim perayaan Aidilfitri.

Sebanyak 127 lori digunakan bagi menghantar air di 257 kampung di seluruh negeri yang mengalami gangguan bekalan air.

Dalam pada itu, Abdul Ghani berkata, lima projek LRA iaitu di Pelubang, Bukit Selambau, Sungai Limau, Lubuk Buntar Lama dan Jenun Baru menelan belanja hampir RM1 billion akan mampu membekalkan air terawat kepada pengguna sehingga 2040.

Katanya, loji yang dijangka siap dalam tempoh dua tahun lagi itu bakal menyelesaikan masalah gangguan air secara keseluruhan di Kedah.

"Bagi Pulau Langkawi, kerajaan memperuntukkan RM600 juta dalam pembentangan bajet 2018, untuk membina Kolam Takungan Hiliran atau 'Off River Storage' (ORS) bagi menyediakan keperluan air mentah di sana.

"Ia sejajar dengan pembangunan pesat industri pelancongan (pertambahan hotel) dan kepadatan penduduk di pulau terbabit," katanya.

Berita Harian X