Isnin, 1 Januari 2018 | 1:23pm
Naib Presiden Jabatan Jualan dan Pengurusan Saluran dan Jabatan Bussiness Solutions Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), Mohd Yazid Jali, Pengarah Hospital Shah Alam, Datin Dr Hasni Hanapi bersama sebahagian ibu kepada bayi tahun baharu yang dilahirkan, menerima Skim Amanah Dana Anak Malaysia 2050 (ADAM50) di Hospital Shah Alam. - Foto Faiz Anuar

5 bayi di HSA terima ADAM50

SHAH ALAM: Lima bayi yang dilahirkan di Hospital Shah Alam (HSA) hari ini, menerima Skim Amanah Dana Anak Malaysia 2050 (ADAM50).

Setiap bayi menerima RM200 menerusi simpanan akaun Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB).

Seorang ibu, Wan Ruzana Saarani,25, berkata insentif diberikan kerajaan pada Bajet 2018 itu sangat bagus dan beliau gembira menerimanya bagi pihak bayi perempuannya.

"Langkah diambil kerajaan sangat bagus untuk menggalakkan ibu bapa seperti kami menabung seawal mungkin untuk masa depan anak.

"Jika tiada insentif sebegini, mungkin saya dan suami akan mengambil sedikit masa untuk membuka akaun simpanan anak kami.


Sebahagian ibu kepada bayi tahun baharu yang dilahirkan, menerima Skim Amanah Dana Anak Malaysia 2050 (ADAM50) di Hospital Shah Alam. - Foto Faiz Anuar

"Bagaimanapun, dengan adanya akaun ASNB ini, kami hanya perlu tambah sahaja simpanan sedia ada yang diberikan kerajaan," katanya di HSA, di sini, hari ini.

Hadir menyampaikan sumbangan ADAM50 di HSA adalah Naib Presiden Jabatan Jualan dan Pengurusan Saluran ASNB, Mohd Yazid Jali dan Pengarah HSA, Datin Dr Hasni Hanapi.

ADAM50 diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam pembentangan Bajet 2018 iaitu satu kaedah untuk mewujudkan budaya melabur dalam kalangan rakyat.

ADAM 50 juga adalah usaha memastikan rakyat mempunyai tabiat melabur seperti unit amanah untuk jaminan masa depan mereka.

Seorang lagi ibu penerima, Jaeffizra Sausin, 21, berkata beliau menyambut baik usaha kerajaan memberikan sumbangan ADAM50 kepada bayi bermula tahun ini.

"Ia usaha yang bagus untuk memupuk budaya menabung dalam kalangan ibu bapa dan simpanan penting untuk memastikan masa depan anak lebih terjamin terutama untuk pendidikannya," katanya.

Berita Harian X