Isnin, 18 Disember 2017 | 2:41pm
TIMBALAN Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah, Leftenan Kolonel Mohd Izaimi Md Daud. -Foto Izhari Ariffin

Kota Belud banjir lagi, 135 dipindahkan

KOTA BELUD: Banjir kali kedua dalam tempoh seminggu di daerah ini menyebabkan 135 mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara yang dibuka semula sejak malam tadi.

Mereka terdiri daripada 69 keluarga yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara di Dewan Tun Said di sini, setakat jam 1 tengah hari tadi.

Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah, Leftenan Kolonel Mohd Izaimi Md Daud, berkata hujan lebat selama lima jam bermula jam 3 petang kelmarin, menyebabkan 14 kampung terjejas, manakala jalan terputus banjir ialah Jalan Kampung Marajah-Donggoi.

"Seramai 135 mangsa yang dipindahkan adalah penduduk dari Kampung Bobot, Kota Belud, Linau, Gunding, Lebak Engad, Menunggui, Keranjangan dan Sembirai.

"Mangsa terdiri daripada 90 dewasa, 27 kanak-kanak, tujuh bayi, 11 warga tua dan tiga orang kurang upaya (OKU). Kita masih menjalankan pemantauan untuk mengenal pasti kawasan lain yang terjejas, selain membantu Jabatan Kebajikan Masyarakat membuat pendaftaran mangsa banjir," katanya menerusi kenyataannya di sini, hari ini.

Antara 14 kampung yang terjejas ialah Kampung Siasai Tamu, Bobot, Ejuk, Kota Belud, Menunggui, Linau, Gunding, Sembirai, Lingkodon, Lebak Engad, Limatok, Donggoi, Tanjung Pasir dan Labuan.

Sebelum ini, banjir di daerah ini yang hanya pulih pada Jumaat lalu, menyebabkan lebih 1,800 penduduk daripada 758 keluarga dipindahkan ke lima pusat pemindahan sementara.

Fenomena banjir di Kota Belud menjadi luar biasa susulan kejadian gempa bumi pada tahun 2015.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, sebelum ini dilaporkan berkata kesan gempa bumi itu menyebabkan Kota Belud menjadi seperti tadahan banjir, dengan paras air meningkat 20 peratus mengakibatkan daerah ini mengalami banjir yang teruk.

Kerajaan Persekutuan juga sudah meluluskan peruntukan sebanyak RM20 juta bagi kerja tebatan banjir untuk jangka masa pendek, manakala RM50 juta untuk projek tebatan untuk jangka masa panjang menangani banjir di daerah ini.

Berita Harian X