Rabu, 27 Disember 2017 | 12:35pm
DATUK Wira Zainal Hussin menunjukkan aplikasi 'Smart Parking Melaka' yang akan mula diperkenalkan mulai 1 Januari 2018. - Foto Khairunisah Lokman
DATUK Wira Zainal Hussin menunjukkan aplikasi 'Smart Parking Melaka' yang akan mula diperkenalkan mulai 1 Januari 2018. - Foto Khairunisah Lokman
DATUK Wira Zainal Hussin (tengah) menyempurnakan gimik pelancaran sistem 'Smart Parking Melaka'. - Foto Khairunisah Lokman
DATUK Wira Zainal Hussin (tengah) menyempurnakan gimik pelancaran sistem 'Smart Parking Melaka'. - Foto Khairunisah Lokman

MBMB perkenal aplikasi bayar parkir

AYER KEROH: Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) bakal menjadi pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama di Melaka memperkenalkan aplikasi telefon pintar untuk membayar caj meletak kereta.

Aplikasi itu akan digunakan mulai 1 Januari depan.

Datuk Bandar Melaka Bandaraya Bersejarah, Datuk Zainal Hussein, berkata melalui aplikasi 'Smart Parking Melaka', pengguna hanya perlu membayar caj parkir kereta melalui telefon pintar tanpa mencari mesin bayar dan peraga atau ejen jualan kupon letak kereta.

"Bagaimanapun, aplikasi ini tidak akan mengganti atau melupuskan sistem tempat letak kereta sedia ada, malah memberi pilihan kepada pengguna untuk menjimatkan masa mereka.

"Kita (MBMB) adalah PBT pertama di Melaka menggunakan aplikasi ini selaras perkembangan teknologi," katanya selepas Majlis Perhimpunan Bulanan MBMB di Dewan Taming Sari MBMB di sini, hari ini.

Pembayaran menerusi Smart Parking Melaka boleh menggunakan kad debit atau kad kredit.

Melalui aplikasi itu juga, pengguna akan menerima notifikasi dalam tempoh 15 minit sebelum tamat waktu meletakkan kenderaan bagi mengelak disaman penguat kuasa.

"Jika ada pengguna yang masih mempunyai kupon tempat meletak kereta, ia boleh digunakan dalam tempoh tiga bulan dari tempoh tamat kupon itu dan saman akan dikeluarkan jika melebihi tempoh ditetapkan PBT," katanya.

Berita Harian X