Ahad, 24 Disember 2017 | 11:11am
BANJIR di Kota Belud berikutan hujan lebat berpunca daripada ribut tropika Tembin - Foto ihsan APM Sabah
BANJIR kilat di Kota Belud, Sabah pagi ini - Foto ihsan APM Sabah

Kota Belud banjir lagi

KOTA BELUD: Hujan lebat sejak malam tadi kesan Ribut Tropika Tembin, sekali lagi menyebabkan banjir kilat di daerah ini dengan 12 kampung, termasuk beberapa laluan dinaiki air, pagi ini.

Ini kejadian banjir kali ke-95 di daerah ini sejak gempa bumi berpusat di Gunung Kinabalu pada 2015 yang menyebabkan runtuhan batuan dan tanah memenuhi sungai utama.

Dalam kejadian terbaharu hari ini, kampung yang terjejas ialah Donggoi, Marajah, Gunding, Sadok-Sadok dan Lingkodon, Linau, Lebak Moyoh, Bobot, Ejuk, Menunggui, Song-Song dan Karang Benai.

Bagaimanapun, setakat ini tiada pusat pemindahan dibuka untuk menempatkan penduduk terjejas.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri, Kamal Mokhtar, berkata hujan berhenti-henti bermula tengah hari semalam, namun hujan lebat berlaku hanya sejak tengah malam tadi.

"Hujan berterusan menyebabkan paras air sungai di beberapa sungai utama mula melimpah.

"Keadaan ini juga mengakibatkan beberapa jalan digenangi air seperti Jalan Kampung Bobot, Siasai Tamu, Kampung Menunggui, Kampung Linau, Kampung Kota Belud, Kampung Lebak Engad dan Jalan Bypass Lebak Moyoh.

"Kita menasihatkan penduduk atau pengguna jalan raya menggunakan Jalan Kampung Piasau dan Jalan Tombulian sebagai jalan alternatif bagi mengelak banjir," katanya.

Kamal berkata, paras air Sungai Kadamaian berada pada tahap normal iaitu 1.47 meter manakala Sungai Tempasuk ditahap amaran, 4.96 meter dan Sungai Abai pada tahap bahaya, 5.54 meter.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya melakukan pemantauan berterusan di semua kawasan berisiko banjir di daerah ini, berikutan keadaan cuaca tidak menentu ketika ini.

"Kita minta penduduk berpindah segera sekiranya mendapat arahan daripada pihak berkuasa bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

"Kerjasama orang ramai amatlah diperlukan dan dihargai ketika ini bagi memastikan operasi menyelamat berjalan lancar," katanya.

Awal bulan ini, lebih 1,800 mangsa dipindahkan di pusat pemindahan di daerah ini akibat banjir yang berpunca daripada hujan lebat berterusan di kawasan hulu.

Ribut tropika Tembin yang kini menghala ke Laut China Selatan dilapor menyebabkan hujan lebat di pantai barat Sabah, khususnya Kudat, Kota Belud, Tuaran, Papar dan Kota Kinabalu selain Kuala Penyu dan Beaufort di pedalaman serta Wilayah Persekutuan Labuan.

Berita Harian X