Selasa, 19 Disember 2017 | 9:10pm
PRESIDEN Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Seri Hasim Ismail menampal notis perintah tutup di sebuah restoran ketika menyertai Operasi Bersepadu Pemeriksaan Premis Makanan di Presint 8. Foto Samadi Ahmad

Sijil halal premis makanan di Putrajaya dikuatkuasa 2018

PUTRAJAYA: Perbadanan Putrajaya (PPj) akan melaksanakan penguatkuasaan sijil halal terhadap premis makanan di sini bermula awal tahun hadapan.

Presidennya, Datuk Seri Hasim Ismail, berkata pelaksanaan itu wajib dipatuhi peniaga, sama ada bagi permohonan baharu atau pembaharuan lesen sedia ada.

Beliau berkata, pendekatan itu selepas pihaknya mengadakan perjumpaan dengan komuniti peniaga bagi menerangkan perancangan peraturan berkenaan sebelum ini.

"Sijil halal akan memberi lebih keyakinan kepada pengguna terutama dalam soal kebersihan makanan serta proses penyediaan makanan di premis," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Operasi Bersepadu Pemeriksaan Premis Makanan di sini, hari ini.

Operasi bertujuan memastikan premis menjual makanan mematuhi peruntukan Akta Makanan 1983 dan Undang-Undang Kecil Penempatan Makanan (Wilayah Persekutuan Putrajaya) 2016.

Sebanyak 10 kompaun dan empat notis amaran dikeluarkan kepada pemilik premis, manakala dua premis diarah tutup kerana tidak mematuhi kebersihan.

Hasim berkata, PPj juga akan mengadakan kempen kesedaran sijil halal dalam kalangan peniaga sebelum penguatkuasaan sepenuhnya dilaksanakan.

Beliau turut menasihatkan peniaga yang masih belum mempunyai sijil halal supaya memohon sebelum penguatkuasaan bermula.

"PPj masih tidak berpuas hati dengan tahap kebersihan di restoran dan gerai makan di kawasan ini kerana ramai pengusaha masih abai aspek kebersihan yang boleh menjejaskan kesihatan orang ramai," katanya.

Berita Harian X