Jumaat, 15 Disember 2017 | 3:31pm
SEBAHAGIAN ahli Persatuan Pelancongan Kiulu (KTA) dan Persatuan Pelancongan Kadamaian (KATA) bersama Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB), Datuk Joniston Bangkuai selepas Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) berlatar belakang Gunung Kinabalu di Pekan Nabalu, Kota Belud, hari ini. - Foto oleh Lano Lan
SEBAHAGIAN ahli Persatuan Pelancongan Kiulu (KTA) dan Persatuan Pelancongan Kadamaian (KATA) bersama Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB), Datuk Joniston Bangkuai selepas Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) berlatar belakang Gunung Kinabalu di Pekan Nabalu, Kota Belud, hari ini. - Foto oleh Lano Lan

Ekopelancongan di Kiulu, Kadamaian dibangunkan

KOTA BELUD: Persatuan Pelancongan Kiulu (KTA) dan Persatuan Pelancongan Kadamaian (KATA) menandatangani memorandum perjanjian (MoA) bagi kerjasama membangunkan potensi ekopelancongan luar bandar di Kiulu, Tuaran dan Kadamaian.

MoA itu masing-masing ditandatangani Presiden KTA, Dr Edmon Guntis dan Presiden KATA, Walter Kandayon, dengan disaksikan Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB), Datuk Joniston Bangkuai.

Joniston yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu, berkata langkah itu sebagai maklum balas keputusan kerajaan negeri menjadikan kawasan Kiulu dan Kadamaian sebagai perintis projek pembangunan ekopelancongan luar bandar di negeri ini.

Katanya, MoA itu membolehkan kedua-dua persatuan bergabung sebagai rakan bagi mengembangkan kekuatan masing-masing ke arah membangunkan industri pelancongan di kedua-dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) itu.

"Kiulu dan Kadamaian diumumkan sebagai perintis projek pembangunan ekopelancongan luar bandar oleh Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman ketika membentangkan Bajet Negeri Sabah 2018 baru-baru ini.

"Langkah awal untuk menjayakan projek berkenaan ialah dengan mewujudkan kerjasama antara KTA dan KATA," katanya pada majlis menandatangani MoA itu di Pekan Nabalu, di sini, hari ini.

MoA berkenaan membabitkan kerjasama selama dua tahun selain boleh disambung sehingga tiga tahun lagi. Ketika ini, KATA disertai seramai 41 ahli, manakala  31 ahli bagi KTA.

Dianggarkan 100,000 pengunjung melawat kedua-dua kawasan sepanjang tahun ini dengan perolehan lebih RM4.5 juta.

Sementara itu, Dr Edmon berkata, MoA itu membolehkan kerjasama dalam pelbagai aspek industri pelancongan khususnya dalam perkongsian pengalaman berkaitan pembangunan produk pelancongan selain pemeliharaan alam sekitar, budaya, pemasaran dan latihan.

Walter berkata, kedudukan Kadamaian dan Kiulu yang berdekatan selain rekod pencapaian program pelancongan yang sudah terbukti di kedua-dua kawasan turut diambil kira dalam mewujudkan kerjasama itu.

"Perkongsian mengenai amalan baik dalam pembangunan pelancongan secara lestari adalah bahagian yang penting dalam perjanjian ini," katanya.

Menerusi kerjasama itu, katanya, kedua-dua pihak boleh mewujudkan pakej pelancongan bersama bagi meningkatkan kehadiran pengunjung di Kiulu dan Kadamaian.

Beliau berkata, pelbagai aktiviti tersedia untuk pengunjung di kedua-dua kawasan termasuk sukan lasak seperti berakit, mendaki bukit, berbasikal dan menyusuri hutan.

Aktiviti berkhemah dan menikmati makanan serta minuman tradisi penduduk setempat adalah antara tarikan di kedua-dua kawasan, ditambah pelbagai kemudahan untuk keselesaan pengunjung termasuk tempat penginapan.

Berita Harian X