Khamis, 14 Disember 2017 | 10:44am
PENGERUSI Jawatankuasa Kebudayaan dan Pelancongan negeri, Datuk Seri Mohd Sharkar Samsudin pada sidang media di Pejabat Pelancongan Pahang di Kuantan, hari ini.
PENGERUSI Jawatankuasa Kebudayaan dan Pelancongan negeri, Datuk Seri Mohd Sharkar Samsudin pada sidang media di Pejabat Pelancongan Pahang di Kuantan, hari ini.

Pahang sasar lapan juta pelancong pada 2018

KUANTAN: Program 'Revisit Pahang 2018' yang akan dilancarkan Januari depan menyasarkan kedatangan lapan juta pelancong ke negeri ini membabitkan pulangan pendapatan dianggarkan RM6 bilion.

Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan dan Pelancongan negeri, Datuk Seri Mohd Sharkar Samsudin, berkata bagi mencapai sasaran itu pihaknya akan melakukan pembaharuan dalam Revisit Pahang 2018 untuk tempoh enam bulan sehingga Jun.

"Banyak program Tahun Melawat Pahang 2017 (TMP2017) akan disambung dan perkenalkan beberapa produk baharu memfokuskan kepada usaha menarik mereka yang pernah datang supaya kembali melancong ke Pahang.

"Kita akan gunakan kekuatan eko pelancongan untuk menarik pelancong ke Pahang. Kita ada beberapa produk yang diketahui penduduk tempatan tetapi tidak orang luar dan mahu manfaatkan sepenuhnya," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Mohd Sharkar berkata, program 'Revisit Pahang 2018' diperkenalkan kerana kejayaan TMP2017 menarik 12 juta pelancong sekali gus mencatatkan jumlah kedatangan pengunjung paling tinggi sejak Jawatankuasa Kebudayaan dan Pelancongan negeri diwujudkan.

"Kita mahu meneruskan momentum ini dan ramai pengusaha resort serta hotel mahu ia diteruskan kerana mereka tidak sempat bersama-sama pada TMP2017 kerana premis baharu dibuka.

"Perkara seperti ini pun pernah dilakukan Kerajaan Pusat yang melancarkan Year Of Festival pada 2015 sebagai susulan kepada Tahun Melawat Malaysia 2014, paling penting kita dapat menarik lebih ramai pelancong untuk menambah pendapatan," katanya.

Berhubung tarikh pelancaran Program 'Revisit Pahang 2018', Mohd Shakar berkata, mengikut perancangan pihaknya mahu melancarkannya di Temerloh, Januari depan tetapi bimbang bencana banjir berikutan musim tengkujuh.

"Kita akan cuba mencari tarikh sesuai," katanya.

Berita Harian X