Rabu, 13 Disember 2017 | 8:41pm
KEBAKARAN di tapak pelupusan sampah di Pekan Nanas yang berlaku sejak 1 Disember lalu, dipadamkan sepenuhnya. - Foto Gambar ihsan Bomba Johor
KEBAKARAN di tapak pelupusan sampah di Pekan Nanas yang berlaku sejak 1 Disember lalu, dipadamkan sepenuhnya. - Foto Gambar ihsan Bomba Johor

Kebakaran tapak pelupusan sampah dipadam sepenuhnya - Bomba

JOHOR BAHRU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor, hari ini mengesahkan kebakaran di tapak pelupusan sampah SWM Enviroment Sdn Bhd (SWM) di Kampung Air Putih, Pekan Nanas di Pontian, dapat dikawal dan dipadam sepenuhnya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pekan Nanas, Mahadir Mamat, berkata operasi pemadaman yang masuk hari ke-13 hari ini, ditamatkan sepenuhnya, kira-kira jam 5 petang tadi.

Katanya, operasi pemadaman di tapak berkenaan bermula pada jam 2.46 petang pada 1 Disember lalu dan sehingga kini, kerja mengemas kini peralatan masih giat dijalankan di tapak berkenaan.

"Kekuatan aset yang digunakan pada hari ke-13 (hari ini) adalah tiga jentera bomba dari Balai Skudai, Pontian dan Bandar Baru Kulai, manakala dua lori tangki daripada SWM, dua lori jet air SWM dan beberapa lagi aset daripada Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan JBPM.

"Operasi hari ini juga membabitkan kekuatan sembilan anggota dari Balai Pekan Nanas, dua masing-masing dari Skudai dan Pontian Baru, manakala sembilan dari Zon Johor Bahru selain 10 anggota APM dan 14 kakitangan SWM," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mahadir berkata, kebakaran sampah di tapak pelupusan itu membabitkan keluasan keseluruhan 10.1 hektar dan kebakaran hari ke-13 membabitkan keluasan seluas 0.6 hektar.

Sejak 1 Disember lalu, kebakaran skala besar berlaku di tapak pelupusan sampah berkenaan berpunca daripada pembakaran di tapak pelupusan haram berhampiran sehingga menyebabkan kawasan di sekitar Johor Bahru mengalami jerebu.

Rabu lalu, Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengeluarkan empat kompaun bernilai RM8,000 terhadap SWM Pontian kerana melakukan pembakaran terbuka di tapak pelupusan sampah milik Majlis Daerah Pontian (MDP) di Pekan Nenas, Pontian.

Pengarah JAS Johor, Datuk Dr Mohammad Ezanni Mat Salleh, berkata empat kompaun bernilai RM2,000 setiap satu dikeluarkan ke atas empat sel (kawasan) yang dilakukan pembakaran terbuka.

Katanya, selain tindakan kompaun, pegawai penyiasat juga sudah mengambil keterangan daripada wakil pihak SWM, MDP dan JBPM.

Berita Harian X