Selasa, 12 Disember 2017 | 4:31pm
KEADAAN kebakaran di tapak pelupusan sampah di Kampung Air Putih, Pekan Nanas, Johor sejak 1 Disember lalu masih belum dapat dipadamkan, sebaliknya merebak ke kawasan baharu sehingga menjejaskan kawasan seluas 2.5 hektar.

Kebakaran tapak pelupusan sampah Pekan Nanas terus merebak

JOHOR BAHRU: Kebakaran tapak pelupusan sampah di Kampung Air Putih, Pekan Nanas dekat sini, sejak 1 Disember lalu masih belum dapat dipadamkan sepenuhnya malah merebak ke kawasan baharu sehingga menjejaskan kawasan seluas 2.5 hektar.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pekan Nanas, Mahadir Mamat, berkata kawasan pemadaman kebakaran kini tertumpu kepada bahagian cerun tempat pelupusan sampah milik Majlis Daerah Pontian (MDP) yang keseluruhannya dianggarkan seluas kira-kira 10 hektar.

Katanya, kesukaran memadamkan kebakaran itu berikutan faktor suhu bahangan yang tinggi mencapai antara 150 hingga 250 Celsius dan kedalaman tempat pelupusan sehingga 9.14 meter yang menyebabkan api di bawah timbunan sampah sukar dipadamkan malah terus merebak.

"Faktor ini juga menyebabkan beberapa kawasan kebakaran yang baharu wujud," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Susulan itu, beliau berkata, pihaknya masih meneruskan operasi memadam kebakaran terbabit dengan meningkatkan jumlah keanggotaan dan jentera bagi mengelakkan ia terus merebak ke kawasan lain.

Katanya, operasi memadam api berkenaan dianggotai 19 anggota bomba, 12 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan 23 pekerja SWM Environment Sdn Bhd (SWM) serta empat tanker.

Beliau turut berkata, hujan juga tidak membantu memadamkan kebakaran berkenaan melainkan jika ia berlarutan beberapa hari.

Sejak 1 Disember lalu, dilaporkan berlaku kebakaran skala besar berlaku di tapak pelupusan sampah milik MDP di Pekan Nanas, Pontian berpunca daripada pembakaran di tapak pelupusan berhampiran sehingga menyebabkan kawasan di sekitar Johor Bahru mengalami jerebu.

Susulan itu, pada Rabu lalu, Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengeluarkan empat kompaun bernilai RM8,000 terhadap SWM Pontian kerana melakukan pembakaran terbuka di tapak pelupusan sampah milik MDP di Pekan Nanas.

Pengarah JAS Johor, Datuk Dr Mohammad Ezanni Mat Salleh, dilaporkan berkata empat kompaun bernilai RM2,000 setiap satu dikeluarkan ke atas empat sel (kawasan) yang dilakukan pembakaran terbuka.

JAS Johor juga melakukan siasatan susulan sejak 2 Disember lalu dan ketika itu kebakaran masih berulang dan semakin merebak disebabkan pemadaman kurang berkesan kerana masih terdapat api di bawah timbunan sampah yang menyebabkan kebakaran kembali berlaku.

Berita Harian X