Isnin, 11 Disember 2017 | 1:08pm
MOHD Rahim Ramli.- Foto Rahmat Othman
MOHD Rahim Ramli.- Foto Rahmat Othman

Tandak air dibina secara haram - JPNK

ALOR SETAR: Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) mengesahkan tandak (kolam takungan) air yang dibina di kawasan Hutan Simpan Bukit Enggang di Sik, dekat sini, yang didakwa tercemar akibat aktiviti pembalakan, sebenarnya dibina penduduk secara haram.

Timbalan Pengarah (Operasi) JPNK, Mohd Rahim Ramli, sehubungan itu meminta orang ramai berhenti daripada terus memanjangkan isu berkenaan kerana pembalakan di kawasan Hutan Simpan Bukit Enggang bukan aktiviti haram, sebaliknya mendapat kelulusan kerajaan negeri.

Katanya, terdapat tiga air tandak yang dibina di kawasan pembalakan sejak 1980-an secara haram tanpa pengetahuan JPNK.

"Tolong hentikan manipulasi isu ini kerana pembalakan di kompartmen 13, 14, dan 15 Hutan Simpan Bukit Enggang itu mendapat kelulusan kerajaan negeri dan pihak JPNK hanya memproses lesen untuk aktiviti membalak.

"Aktiviti terbabit masih berjalan dan JPNK akan mengambil tindakan sekiranya pembalak melanggar syarat lesen ditetapkan.

"Isu air tercemar itu sepatutnya tidak timbul kerana tandak air itu dibina secara haram dan sekiranya ia dibina dengan kelulusan jabatan, pihak saya akan mencadangkan ia dibina di kawasan yang sesuai iaitu di hutan perlindungan," katanya ketika dihubungi.

Semalam, akhbar melaporkan penerokaan lebih 500 hektar tanah di kawasan Hutan Simpan Bukit Enggang di Sik sejak pertengahan tahun lalu menyebabkan sumber air di tiga kampung berdekatan tercemar dengan sisa lumpur.

Kampung terbabit ialah Kampung Balong Ayam, Kampung Durian Burung dan Kampung Paya Terendam.

Mohd Rahim berkata, atas dasar tanggungjawab sosial pihaknya difahamkan pembalak akan membina tandak air baharu di kompartmen 16 bagi memastikan penduduk kampung terbabit dapat menerima semula bekalan air tandak.

Katanya, kompartmen 16 adalah kawasan hutan perlindungan yang tidak akan dibalak untuk memastikan kelestarian alam serta menjaga kepentingan sumber air dan kawasan hutan lipur.

"Kebanyakan penduduk sudah mendapat bekalan air daripada Syarikat Air Darul Aman (SADA), manakala pembinaan tandak air baharu di kompartmen 16 dijangka siap tahun depan," katanya.

Berita Harian X