Khamis, 7 Disember 2017 | 4:42pm
Foto ihsan msn.sabah.gov.my
Foto ihsan msn.sabah.gov.my

679 pingat dipertandingkan dalam SAGA 2017

SANDAKAN: Sebanyak 679 pingat membabitkan 20 acara sukan dipertandingkan dalam Sukan Sabah (SAGA) 2017 yang bermula hari ini.

Daripada jumlah itu, pingat emas dan perak masing-masing 197, manakala gangsa sebanyak 285 pingat.

Sukan edisi kelapan itu keseluruhannya membabitkan lebih 5,000 orang dengan atlet lelaki seramai 2,398 orang, disusuli atlet wanita (1,635), jurulatih (604), pengurus pasukan (239), urus setia kontinjen (130) dan pegawai serta teknikal (1,011).

Kejohanan dwi tahunan itu disertai 26 daerah dengan Sandakan yang juga tuan rumah adalah kontinjen paling ramai iaitu 439 orang, manakala Tawau dan Keningau masing-masing 343 orang dan 338 orang.

Daerah lain membabitkan Kota Kinabalu; Papar; Putatan; Penampang; Ranau; Tuaran; Kinabatangan; Beluran; Telupid; Tongod; Semporna; Lahad Datu; Kunak; Pitas; Kudat; Kota Belud; Kota Marudu; Nabawan; Tambunan; Tenom; Beaufort; Kuala Penyu dan Sipitang.

Sukan yang dipertandingkan adalah badminton, berbasikal, bola jaring, bola sepak, bola tampar, boling padang, golf, hoki, karate, memanah, olahraga, pencak silat, petanque, ragbi, sepak takraw, taekwando, tenis, tinju dan ping pong.

SAGA pada tahun ini secara rasmi bermula pada 9 hingga 15 Disember depan dengan perasmian pembukaan dijangka disempurnakan oleh Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman di Kompleks Sukan Sandakan, Ahad ini.

Tiga jenis sukan iaitu hoki, bola sepak dan sepak takraw bermula lebih awal iaitu hari ini dan esok.

Berita Harian X