Sabtu, 2 Disember 2017 | 3:43pm
WARID Firas Mohd Muzaffar ditemani bapa dan ibunya pada program Khatan Perdana 2017 peringkat Perlis di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar.

Budak 4 tahun teruja berkhatan

KANGAR: Usia yang baru mencecah empat tahun tidak menghalang Warid Firas Mohd Muzaffar menyertai program Khatan Perdana 2017 bersama kanak-kanak lain yang lebih tua daripadanya.

Walaupun paling muda, Warid Firas yang ditemani ibu dan bapanya, tidak kelihatan gementar sedangkan ada kanak-kanak lain yang lebih tua menangis ketika menunggu giliran dikhatankan.

Dia antara 360 kanak-kanak lelaki yang menyertai program Khatan Perdana 2017 peringkat Perlis di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini, bermula jam 10.30 pagi tadi.

Bapanya, Mohd Muzaffar Rosman, 32, berkata Warid Firas begitu teruja untuk berkhatan kerana kebanyakan rakan sebayanya sudah berkhatan.

"Dia memang bersemangat, malah sebelum cuti sekolah lagi sudah beriya-iya untuk berkhatan kerana ramai rakannya di Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) ramai yang sudah bersunat.


MENTERI Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man meninjau proses berkhatan pada program Khatan Perdana 2017 peringkat Perlis di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar.

"Kami tinggal di Langkawi, tetapi isteri berasal dari Perlis. Apabila ada program khatan perdana ini, kami terus daftarkan namanya," katanya ketika ditemui selepas program itu.

Usaha menemubual Warid Firas tidak berhasil apabila kanak-kanak itu menangis sejurus keluar dari dewan pembedahan.

"Mungkin anak saya tidak selesa dengan perubahan keadaannya selepas berkhatan, memandangkan dia kena berjaga-jaga ketika melangkah.

"Selepas dikhatankan, dia sering merengek dan apabila kami cuba memujuknya dia kerap berkata mahu balik ke rumah datuk dan neneknya," katanya.

Majlis selama dua hari itu disertai kanak-kanak sekitar negeri ini dan Langkawi.

Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man, berkata kerajaan negeri memperuntukkan lebih RM70,000 bagi membiayai program Khatan Perdana 2017 yang menjadi acara tahunan di Perlis.

Beliau menyempurnakan upacara semburan air menggunakan hos Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) kepada peserta sebagai simbolik perasmian program itu di HTF.


PESERTA program Khatan Perdana 2017 peringkat Perlis disembur air sebelum dikhatankan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar.

Berita Harian X