Jumaat, 1 Disember 2017 | 6:42pm
MENTERI Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin melakukan gimik perasmian pada Majlis Pecah Tanah Dewan Muafakat Permas di Jalan Permas 1/2, Bandar Baru Permas, Johor Bahru, hari ini. - Foto Mohd Azren Jamaludin
MENTERI Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin melakukan gimik perasmian pada Majlis Pecah Tanah Dewan Muafakat Permas di Jalan Permas 1/2, Bandar Baru Permas, Johor Bahru, hari ini. - Foto Mohd Azren Jamaludin

KPRJ bina Dewan Muafakat Johor Permas

JOHOR BAHRU: Kumpulan Prasarana Rakyat Johor Sdn Bhd (KPRJ) akan membina sebuah dewan serbaguna yang lengkap dengan pelbagai kemudahan bernilai kira-kira RM8 juta di Bandar Baru Permas Jaya, di sini pada suku pertama tahun depan.

Dewan Muafakat Johor Permas yang akan dibangunkan pada keluasan 0.44 hektar itu dilengkapi dengan sebuah dewan berhawa dingin, empat gelanggang badminton, tadika, kios jualan serta kemudahan asas seperti surau, tandas, bilik mesyuarat dan pejabat pengurusan.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata pembinaan Dewan Muafakat Johor itu akan menjadi penanda aras atau model kepada pembinaan dewan lain di seluruh negeri yang diyakini mampu melonjakkan pertumbuhan ekonomi dan sosial masyarakat setempat.

Beliau yang juga Pengerusi KPRJ, berkata cadangan untuk mendirikan dewan berkenaan di kawasan Bandar Baru Permas Jaya itu dikemukakan masyarakat setempat sejak dua tahun lalu, sebelum ditunaikan kerajaan negeri selepas melalui pelbagai proses termasuk pengambilan tanah.

"Inilah yang kita (kerajaan) lakukan dan semua ini menepati hasrat dan pendekatan diambil oleh kerajaan dalam membangun dan memajukan Johor.

"Kita perlu pastikan pembangunan ekonomi berlaku secara berterusan. Tanpa pembangunan, bagaimana kita boleh penuhi permintaan masyarakat. Memang menjadi hasrat kerajaan negeri untuk membawa pembangunan inklusif yang akhirnya memberi kesejahteraan kepada rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pecah Tanah Dewan Muafakat Permas di Jalan Permas 1/2, Bandar Baru Permas di sini, hari ini.

Yang hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif KPRJ, Abd Razak Mohd Yusoff. Mohamed Khaled berkata, pembinaan Dewan Muafakat Johor Permas yang akan mengambil masa kira-kira 18 bulan itu akan menjadi wadah penyatuan pelbagai bangsa untuk menjalankan aktiviti atau keraian setempat.

Sementara itu, Abd Razak berkata pembinaan Dewan Muafakat Johor Permas oleh anak syarikat KPRJ iaitu KPRJ Builders Sdn Bhd adalah projek yang dirancang untuk memenuhi keperluan prasarana masyarakat setempat.

Katanya, dewan berkenaan boleh memuatkan sehingga 900 orang selain empat gelanggang badminton yang berkeluasan 1,395.54 meter persegi yang boleh dimanfaatkan bagi aktiviti riadah masyarakat setempat.

Berita Harian X