Jumaat, 1 Disember 2017 | 11:55am
DATUK Seri Adnan Yaakob. - Foto Zulkepli Osman
DATUK Seri Adnan Yaakob. - Foto Zulkepli Osman

Mekanisme bantu rakyat miliki PR1MA

KUANTAN: Kerajaan Pahang meminta Kerajaan Persekutuan memperkenalkan mekanisme khas bagi mengatasi kesukaran rakyat membeli rumah mampu milik dibina menerusi Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Pahang.

Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob, berkata pada masa ini banyak unit rumah PR1MA Pahang dibina dengan kerjasama kerajaan negeri dan swasta tidak terjual berikutan kesukaran orang ramai mendapatkan pinjaman bank.

Tanpa menyatakan jumlah unit rumah tidak terjual berkenaan, Adnan berkata, PR1MA Pahang adalah antara inisiatif pihaknya untuk menyelesaikan masalah pemilikan kediaman dan ia dizahirkan menerusi manifesto Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

"Kita berjanji membina 15,000 unit rumah dalam tempoh lima tahun tetapi sehingga kini berjaya bina antara 35,000 ke 37,000 unit di pelbagai peringka.

"Tetapi sayang kebanyakannya tidak dapat dimiliki pemohon kerana kegagalan mendapat pinjaman bank.

Saya ada bertanya dengan mereka mahir dalam urusan perbankan termasuk Tan Sri Abdul Wahid Omar (Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Bhd) berkaitan perkara ini.

"Semua menyatakan bank suka memberi pinjaman tetapi selepas dikaji pendapatan dan pemotongan komitmen pemohon, mereka tidak mampu.

"Jadi tidak diluluskan. Kita minta Kerajaan Persekutuan bantu menangani hal ini dengan memperkenalkan mekanisme tertentu," katanya ketika ditemui BH baru-baru ini.

Adnan berkata, antara mekanisme itu, Kerajaan Persekutuan wujudkan dana khas atau kaedah sewa beli untuk Projek Perumahan Rakyat (PPR) seperti diumumkan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar baru-baru ini.

"Saya ingat Kerajaan Persekutuan kena tengok dan bantu, kita (Kerajaan Pahang) sudah menyiapkan rumah dan sekarang terpulang kepada mereka menentukan mekanisme.

"Cara ini, ramai membeli rumah dan selaras dengan komitmen kerajaan membantu rakyat memiliki kediaman sendiri bagi menikmati kehidupan lebih baik," katanya.

Rumah berkembar setingkat PR1MA Pahang dengan tiga bilik tidur dan dua bilik air berharga RM150,000, lebih rendah berbanding harga di pasaran antara RM270,000 hingga RM300,000.

PR1MA Pahang turut menawarkan Rumah Makmur, iaitu rumah teres tiga bilik berharga RM80,000 dan ia dibuka kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana rendah dengan pendapatan bulanan isi rumah bawah RM5,000.

Berita Harian X