Khamis, 23 November 2017 | 9:44pm
ANGGOTA penguatkuasa Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) memunggah peralatan penyediaan makanan dan barangan runcit dalam Operasi Khas Sitaan Premis Perniagaan MDKLdi Bandar Saujana Putra, Jenjarom, Selangor. - Foto ihsan MDKL
ANGGOTA penguatkuasa Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) memunggah peralatan penyediaan makanan dan barangan runcit dalam Operasi Khas Sitaan Premis Perniagaan MDKLdi Bandar Saujana Putra, Jenjarom, Selangor. - Foto ihsan MDKL

Premis perniagaan warga asing disita

BANTING: Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) menyita lima premis perniagaan yang dikendalikan warganegara Bangladesh di Bandar Saujana Putra, selepas dipercayai menjalankan perniagaan tanpa lesen sejak awal tahun ini.

Yang Dipertua MDKL, Mohamad Zain A Hamid berkata, lima kali pemantauan dan risikan dijalankan sejak April 2017 termasuk mengeluarkan notis sebelum operasi sitaan dilaksanakan.

Beliau berkata, Operasi Khas Sitaan Premis Perniagaan MDKL warganegara asing itu dilaksanakan dengan kekuatan 20 anggota MDKL termasuk dua pembantu penguatkuasa kanan yang diketuai Mohd Hairul Nizam Salimin.

"Operasi yang dijalankan kira-kira jam 1.30 tengah hari Selasa lalu itu, turut mengenalpasti pengusaha menjalankan perniagaan jenis jualan makanan dan mengusahakan kedai runcit.

"Hasil siasatan, anggota kami berjaya merampas peralatan penyediaan makanan dan barangan runcit dalam operasi ke atas dua premis kedai makan dan tiga premis kedai runcit di Bandar Saujana Putra.

"Barang-barang sitaan kemudiannya dihantar ke stor Pejabat Cawangan MDKL Bandar Saujana Putra untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini. 

Mohamad Zain berkata, tindakan sitaan dilakukan mengikut Undang Undang Kecil 38(1) Undang-undang kecil tred perniagaan dan perindustrian MDKL 2007 (Premis perniagaan runcit) dan Undang-Undang-undang kecil 57(1) Undang-undang kecil Establishment Makanan MDKL 2007 (Premis makanan dan minuman).

"Pihak kami sentiasa menjalankan pemantauan dan mengenakan tindakan undang-undang terhadap mana-mana premis perniagaan yang diusahakan tanpa lesen bagi mengelakkan pelbagai masalah berkaitan," katanya.

Berita Harian X