Isnin, 20 November 2017 | 11:52am

TMP2017 catat pendapatan RM7.48 bilion

KUANTAN: Lebih 13 juta pelancong dengan nilai pendapatan RM7.48 bilion direkod menerusi kempen Tahun Melawat Pahang 2017 (TMP2017), dari Januari sehingga September lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin, berkata Genting Highlands mencatatkan jumlah pelancong paling ramai dengan 6.6 juta pelancong iaitu peningkatan 8.5 peratus.

"Statistik juga menunjukkan Sungai Lembing dikenali sebagai El Dorado Timur mencatatkan peningkatan jumlah pelancong paling ramai, diikuti daerah Pekan dan Temerloh," katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Md Sohaimi Mohamed Shah (BN-Sungai Lembing), pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini, hari ini.

Md Sohaimi meminta penjelasan jumlah kedatangan pelancong dan hasil pendapatan kerajaan dalam kempen TMP2017.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Datuk Wan Salman Wan Ismail (BN-Jengka) sama ada akan meneruskan TMP2017 berikutan kejayaannya, Mohd Sharkar berkata, kerajaan negeri sedang mempertimbangkan perkara itu.

"Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan yang menganjurkan Tahun Melawat Malaysia 2014 dan tahun berikutnya menganjurkan Year Of Festival sebagai urutan. Kita di Pahang pun mungkin akan sambung (TMP2017).

"Ini kerana ada sebahagian hotel dan inap desa, hanya siap pada September atau Oktober, jadi mereka tidak sempat sepenuhnya untuk bersama-sama dalam Tahun Melawat Pahang 2017.

"InsyaAllah kita akan buat pengumuman dalam masa terdekat," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Perbandaran Negeri, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata kerajaan Pusat baru-baru ini, meluluskan projek perumahan mampu milik di Tanjung Jambu, Lipis, dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Padang Tengku.

"Ia membabitkan pembinaan 100 unit rumah dan wakil Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan meninjau tapak terbabit diharapkan tiada sebarang masalah," katanya.

Beliau menjawab soalan lisan Datuk Mustapa Long (BN-Padang Tengku) yang meminta penjelasan projek pembangunan kesejahteraan di kawasan operasi Majlis Daerah Lipis.

Berita Harian X