Khamis, 16 November 2017 | 6:57pm

KUL Marathon 2017 perkenal KLIA Aeropolis

SEPANG: Hampir 3,000 peserta akan menyertai acara larian KUL Marathon 2017 di sekitar Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Aeropolis di sini, Ahad ini.

Acara anjuran Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) itu adalah yang julung kali diadakan di bandar lapangan terbang di Asia, sempena sambutan 25 tahun MAHB pada tahun ini.

Pengurus Besar Kanan MAHB, Zainol Mohd Isa, berkata larian dalam empat kategori iaitu 42 kilometer (km), 25 km, 10km dan 3km itu akan membabitkan kawasan seluas 100km persegi.

"Acara larian akan bermula di Terminal Utama KLIA dan peserta akan melalui beberapa mercu tanda di sekitar KLIA termasuk Menara Kawalan Trafik Udara, Litar Antarabangsa Sepang, Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) KLIA, landasan tiga, klia2 serta Mitsui Outlet Park.

"Acara ini bukan saja mempromosi KLIA Aeropolis kepada umum, malah membawa peserta menikmati pengalaman di lapangan terbang dengan cara berbeza, sekali gus dapat menyaksikan sendiri pembangunan di kawasan KLIA dengan lebih dekat," katanya dalam temubual bersama Kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) di sini, hari ini.

Zainol berkata, walaupun kali pertama dianjurkan, sambutan yang diterima bagi acara itu begitu menggalakkan melebihi sasaran awal yang ditetapkan.

"Kita menerima peserta dari dalam dan luar negara. Selain itu, apa yang uniknya mengenai larian ini adalah kita menawarkan kategori 25km sempena sambutan 25 tahun MAHB, berbanding kebiasaan 21km bagi acara separa maraton," katanya.

Beliau berkata, setiap peserta akan menerima kemeja T, selain medal bagi yang berjaya menamatkan larian bagi kategori masing-masing.

Hadiah utama bagi peserta yang menamatkan larian 42km adalah wang tunai RM1,500; RM1,000 bagi 25km dan RM700 bagi 10km, yang akan disampaikan Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Seri Saripuddin Kasim.

Berita Harian X