Rabu, 15 November 2017 | 8:51pm
PENGERUSI Persatuan Penjaja dan Perniaga Kecil Bukit Bintang, See Foo Hoong pada tinjauan pejalan kaki berlubang di Jalan Alor Bukit Bintang. - Foto Hafiz Sohaimi
PENGERUSI Persatuan Penjaja dan Perniaga Kecil Bukit Bintang, See Foo Hoong pada tinjauan pejalan kaki berlubang di Jalan Alor Bukit Bintang. - Foto Hafiz Sohaimi

Projek lebar laluan pejalan kaki jejas penduduk, peniaga

KUALA LUMPUR: Lebih 100 penduduk dan peniaga di Jalan Alor dan Jalan Changkat di Bukit Bintang, di sini, bimbang masalah kesesakan trafik selain kekurangan tempat letak kenderaan di situ bertambah teruk apabila projek pelebaran laluan pejalan kaki siap, hujung bulan ini.

Projek berkenaan menyaksikan kira-kira 26 petak letak kenderaan sedia ada di sepanjang Jalan Changkat ditiadakan bagi tujuan melebarkan laluan pejalan kaki daripada tiga meter kepada enam meter.

Penduduk dan peniaga di kawasan itu mendakwa, tiada notis makluman dikeluarkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kepada mereka walaupun kerja pembinaan sudah bermula sejak sebulan lalu.

Mereka mengadu, akibat tiada lagi ruang letak kenderaan, penduduk dan peniaga di kawasan berkenaan selain pelanggan, terpaksa meletakkan kenderaan jauh dari Jalan Changkat.

Tinjauan mendapati berlaku kesesakan lalu lintas biarpun ada dua lorong laluan sehala kerana trafik terganggu dengan kerja naik taraf dan pelebaran laluan pejalan kaki yang giat dijalankan.

Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Bukit Bintang, See Foo Hoong, berkata penduduk dan pelanggan terpaksa meletakkan kenderaan di kawasan letak kereta berbayar hampir dua kilometer dari Jalan Changkat.

"Kami tidak menentang projek ini kerana ia untuk kebaikan rakyat juga, namun DBKL haru fikir juga kesannya kepada penduduk dan peniaga di sini.

"Peniaga juga terbeban kerana menghantar barang terpaksa berhenti di tepi jalan untuk memunggah barang, seterusnya menyebabkan kesesakan lebih teruk kerana hanya satu lorong boleh dilalui kenderaan lain," katanya.

Masalah peniaga dan penduduk kawasan itu mendapat perhatian DBKL yang menghantar Timbalan Pengarah Kanan Jabatan Kejuteraan Awam dan Pengangkutan Bandarnya, Sabudin Mohd Salleh meninjau kawasan terbabit dan berdialog dengan penduduk dan peniaga.

Tinjauan turut disertai Ketua Biro Perkhidmatan dan Aduan Awam GERAKAN, Datuk Wilson Lau Hoi Keong.

Penduduk dan peniaga juga mendakwa, akibat tiada kemudahan letak kenderaan, beberapa kontraktor dan syarikat tempat letak kenderaan berbayar mula mengambil kesempatan menaikkan caj untuk kemudahan berkenaan.

Apa yang membimbangkan mereka, Jalan Changkat yang juga sebahagian lokasi pelancongan utama di ibu negara, turut menjadi laluan bas persiaran membawa pelancong yang juga menyumbang kepada kesesakan teruk di laluan berkenaan.

Sementara itu, Sabudin berkata, projek berkenaan sebahagian usaha kerajaan untuk mengurangkan jumlah di pusat bandar dan menggalakkan penggunaan pengangkutan awam.

"Kerajaan mahu galakkan orang ramai guna pengangkutan awam seperti Transit Aliran Massa (MRT) dan monorel. Sebab itu, DBKL laksanakan pelebaran laluan pejalan kaki bagi memudahkan orang awam berjalan dari stesen MRT berdekatan ke kawasan ini.

"Malah selepas laluan pejalan kaki dan bahu jalan di sini dilebarkan, peniaga boleh memohon lesen atau kebenaran daripada DBKL untuk meletakkan kerusi dan meja perniagaan mereka di luar premis," katanya.

Katanya, inisiatif itu adalah yang pertama dan perintis sebelum lebih banyak projek sama dilaksanakan di beberapa lokasi lain di pusat bandar, sekali gus mengurangkan masalah kesesakan trafik di ibu negara, terutama di kawasan tumpuan ramai.

Penduduk, Chong Kah Peng, 61, yang sudah mendiami kawasan berkenaan selama 40 tahun, berkata beliau terpaksa meletakkan kenderaan jauh dari rumah kerana projek berkenaan.

"Bayangkan umur sudah 61 tahun, terpaksa jalan jauh. Untuk letak di kawasan tempat letak kereta, ada operator yang ambil RM10 sekali masuk," katanya.

Peniaga makanan, Loh Kien Meng, 36, berkata masalah kekurangan tempat letak kenderaan juga menjejaskan perniagaannya kerana pelanggan semakin berkurangan/

"Ada pelanggan terpaksa pesan makanan melalui tingkap kenderaan, pusing di jalan utama dan kembali ke sini untuk ambil makanan," katanya.

Berita Harian X