Sabtu, 11 November 2017 | 11:03am

FINCO akhiri siri Jejak Membaca 2017 di Menggatal

KUALA LUMPUR: Financial Industry Collective Outreach (FINCO) meneruskan program Jejak Membaca (Reading Hunt) kali ketiga yang juga siri akhir di Sekolah Kebangsaan (SK) Rampayan, Menggatal, Sabah.

FINCO adalah inisiatif bersepadu oleh institusi kewangan yang berbentuk tanggungjawab sosial korporat (CSR) diwujudkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM), tertumpu kepada pelaksanaan program peningkatan penguasaan bahasa Inggeris serta motivasi untuk kanak-kanak dan belia daripada keluarga berpendapatan rendah.

Dalam satu kenyataan hari ini, FINCO memaklumkan, projek perintis dimulakan oleh Soroptimist International Kota Kinabalu (SIKK) di SK Rampayan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Sabah dan Perpustakaan Negeri Sabah bagi meningkatkan tahap kemahiran berbahasa Inggeris.

Yang turut hadir pada program Sabtu lalu itu adalah Ketua Penolong Pengarah Pendidikan Sabah, Mohd Fazli Abd Rozan; Naib Pengerusi Jawatan FINCO, Nishan E Weerasooria; Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengelola FINCO, Syed Anuar Syed Ali yang juga Ketua Komunikasi Korporat dan Pemasaran Kumpulan Ambank.

Projek itu menyediakan bahan bacaan bahasa Inggeris dalam bentuk cetakan dan digital kepada guru dan murid menerusi aktiviti menyeronokkan.

"Ini sekali gus meningkatkan pembabitan pelajar dengan bahan bacaan bahasa Inggeris serta meluaskan akses mereka terhadap pengetahuan melalui pembacaan dan bahan bantu belajar digital.

"Program ini dilaksanakan sepanjang tahun ketika kelas kurikulum bahasa Inggeris dan kemuncak ketiga-tiga siri Jejak Membaca ini," kata kenyataan berkenaan.

Seramai 43 murid Tahun Empat dipilih menyertai aktiviti berkenaan, manakala 19 lagi mengambil bahagian dalam aktiviti bahasa Inggeris yang dijalankan perpustakaan negeri pada masa sama.

"Mereka dibantu sukarelawan dari AmBank, Prudential, Maybank dan Soroptimist International Kota Kinabalu dalam melaksanakan aktiviti.

"Projek Jejak Membaca ini dibangunkan guru bahasa Inggeris SK Rampayan dengan dibantu sukarelawan Soroptimist Antarabangsa Kota Kinabalu, iaitu Hanaa Abdullah dan Audrey Fung," katanya.

Katanya, FINCO akan membangunkan modul untuk memperluaskan program ke 14 sekolah di tujuh daerah di Sabah menjelang tahun depan dengan khidmat nasihat Jabatan Pendidikan Sabah.

"Sabah adalah negeri pertama bagi projek ini sebelum ia diperluaskan ke negeri lain selepas ini. FINCo adalah inisiatif bersepadu institusi kewangan untuk melaksanakan tanggungjawab sosial korporat.

"Ia bagi melaksanakan program untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dan motivasi untuk kanak-kanak dan belia dari golongan berpendapatan rendah," katanya.

FINCO dilancarkan secara rasmi pada 4 Ogos lalu sempena Karnival Kewangan Sabah.

Berita Harian X