Selasa, 7 November 2017 | 3:17pm
YANG Di Pertua MPSepang Datuk Puasa Md Taib (kiri) menunjukkan bekas pembungkusan makanan Green Blue (GB) pada Majlis Pelancaran Tapak Rintis Premis Makanan Hijau dan Sistem AD di Dengkil. Turut kelihatan Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM Prof Ir Dr Ahmad Fadzil Mohamad Hani (kanan) dan Setiausaha Bahagian, Bahagian Pembangunan Industri Sektor Teknologi Hijau (KeTTHA) Asdirhyme Abdul Rasib. - Foto NURSYAHIRAH MARZUKI

MPSepang laksana sistem rawat sisa makanan

DENGKIL: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) menjadi pihak berkuasa tempatan (PBT) keempat dipilih melaksanakan projek Tapak Rintis Premis Makanan Hijau dan Sistem Pencernaan Anaerobik (AD) bermula hari ini.

Yang Dipertua MPSepang, Datuk Puasa Md Taib, berkata Medan Selera Dengkil dipilih sebagai tapak rintis premis makanan hijau yang akan menjalankan operasinya mengikut amalan hijau.

"Projek usaha sama antara Sirim Berhad (Sirim) serta Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) ini selaras dengan pelaksanaan Hari Bebas Plastik di Selangor.

"Premis ini dibekalkan dengan bekas pembungkusan makanan Green Blue (GB) dan sistem AD bagi merawat sisa makanan yang dibuang setiap hari," katanya pada Majlis Pelancaran Tapak Rintis Premis Makanan Hijau dan Sistem AD di sini, hari ini.

Hadir sama, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM, Prof Ir Dr Ahmad Fadzil Mohamad Hani dan Setiausaha Bahagian, Bahagian Pembangunan Industri Sektor Teknologi Hijau (KeTTHA), Asdirhyme Abdul Rasib.

Puasa berkata, fasa pertama projek berkenaan membabitkan seramai 32 peniaga di Medan Selera Dengkil, Kedai PLB dan Peniaga Pasar Malam.

"Melalui sistem AD yang diperkenalkan ini, ia akan merawat sisa makanan dan juga pembungkus mesra alam untuk menjadi biogas yang boleh digunakan semula sebagai sumber tenaga elektrik di premis niaga.

"Kita menyambut baik usaha ini dan saya berharap ia dapat diperluaskan ke semua lokasi premis makanan di bawah MPSepang dan kepada PBT lain," katanya.

Sementara itu, Ahmad Fadzil berkata, SIRIM kini dalam proses mengedarkan dua juta unit sampel pembungkus GB kepada peniaga di Medan Ikan Bakar Kampung Gelam, Port Dickson, Negeri Sembilan; Medan Selera Kompleks Melaka Mall, Ayer Keroh, Melaka dan Medan Selera USJ 7, Subang Jaya, Selangor selain Medan Selera Dengkil.

"Sehingga kini, maklum balas yang diterma terhadap pembungkusan ini menggalakkan kerana harga berpatutan dan kualitinya baik.

"Kita sudah menguji pembungkusan ini mengikut standard antarabangsa bagi memastikan pembungkusan lebih kukuh, tidak tiris, boleh dipanaskan menggunakan ketuhar gelombang tinggi dan selamat digunakan," katanya.

Berita Harian X