Ahad, 5 November 2017 | 1:39pm

Pengeluaran durian Musang King merosot

GUA MUSANG: Pengeluaran durian Musang King merudum hampir 90 peratus di negeri ini, pada tahun ini walaupun permintaan terhadapnya sangat tinggi, terutama dari negara China, Hong Kong dan Singapura.

Pengeluar utama durian Musang King, di Kelantan, Hong Yok Fon, 41, atau lebih dikenali Tina Chong berkata kebun miliknya seluas 20 hektar hanya mampu menghasilkan 1,000 biji saja berbanding 5,000 biji pada tahun lalu.

Katanya, kemerosotan keluaran buah durian itu berikutan faktor cuaca yang tidak menentu pada tahun ini.

"Saya sendiri tidak sangka langsung durian Musang King merosot begitu teruk sekali dan ini yang pertama kali berlaku sejak saya mengusahakan durian lebih 15 tahun lalu.

"Malah, saya orang pertama memperkenalkan durian Musang King dengan mengambil nama daerah ini, Gua Musang," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Tina Chong berkata, harga durian di pasaran tempatan pada tahun ini meningkat dari RM60 hingga RM70 sekilogram berbanding sebelum ini, antara RM30 hingga RM40 sekilogram.

"Durian Musang King saya pada tahun ini hanya sempat dieksport ke Singapura saja pada tahun ini," katanya.

Berita Harian X