Sabtu, 4 November 2017 | 7:43am
ANTARA kawasan di Perak Tengah yang dilanda banjir kilat selepas hujan lebat petang semalam. - Foto ihsan Bomba
ANTARA kawasan di Perak Tengah yang dilanda banjir kilat selepas hujan lebat petang semalam. - Foto ihsan Bomba

2 daerah di Perak dilanda banjir kilat

IPOH: Lima kampung di daerah Perak Tengah dan Hulu Perak dilanda banjir kilat susulan hujan lebat sejak petang semalam.

Timbalan Pengarah Pertahanan Awam Perak, Zairil Anuar Zulmuji, berkata 37 penduduk ditempatkan di pusat pemindahan di daerah Perak Tengah iaitu Dewan Orang Ramai Simpang Tiga di Mukim Belanja, Parit pada jam 7.30 malam tadi.

Katanya, dua kampung di daerah itu iaitu Kampung Simpang Tiga dan Kampung Serapoh dinaiki air selepas hujan lebat sejak jam 5 petang.

"Kami menerima panggilan petang semalam yang memaklumkan rumah penduduk dinaiki air akibat hujan lebat di Kampung Simpang Tiga di Parit.

"Seramai 37 mangsa daripada sembilan keluarga ditempatkan di pusat pemindahan berkenaan.

"Hujan berterusan menyebabkan Sungai Sadang berdekatan melimpah sehingga menyebabkan banjir kilat di dua kampung di situ," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung banjir di Kampung Simpang Tiga di daerah Perak Tengah pada jam 12.15 tengah malam tadi.

Katanya, anggota yang membuat tinjauan mendapati 37 penduduk sudah berada di pusat pemindahan dan paras air semakin surut sebelum operasi ditamatkan setengah jam kemudian.

Di daerah Hulu Perak, sebanyak 14 rumah di Kampung Padang Jeri, Kampung Tanjung Lobak dan Kampung Sumpitan di Kenering, Lenggong dinaiki air, namun dilaporkan semakin surut.

Berita Harian X