Khamis, 2 November 2017 | 3:34pm
MICHAEL menerima cenderahati selepas merasmikan Persidangan Kebangsaan Budaya Berfikir 2017 di Kota Samarahan, hari ini. - Foto Mohd Latif Ahmad

Terus perkasa sistem pendidikan negara - Michael Manyin

KOTA SAMARAHAN: Sistem pendidikan negara perlu terus diperkasa seiring kemajuan semasa, termasuk memberi penekanan kepada pembangunan keperibadian pelajar.

Ia penting bagi melahirkan modal insan generasi baharu yang berfikiran tinggi, berinovasi dan mampu berdaya saing.

Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak, Datuk Seri Michael Manyin Jawong, berkata budaya menghasilkan pelajar yang cemerlang akademik sahaja perlu diubah.

Katanya, budaya itu tidak begitu relevan lagi dengan perkembangan masa depan yang lebih mencabar dan memerlukan individu memiliki tahap pemikiran tinggi.

"Kita boleh memperkenalkan kurikulum untuk membuatkan pelajar berfikir berorientasikan keperibadian, namun perubahan itu tidak dapat dicapai jika sistem sedia ada masih berorientasikan peperiksaan. 

"Selagi sistem berorientasikan peperiksaan, ia hanya tertumpu kepada keputusan peperiksaan cemerlang," katanya ketika merasmikan Persidangan Kebangsaan Budaya Berfikir 2017 di sini hari ini.

Beliau berkata, guru mungkin tiada masa untuk berfikir mengenai usaha mewujudkan tahap pemikiran tinggi dalam kalangan pelajar kerana itu adalah kehendak sistem pendidikan sedia ada dan ibu bapa.

Katanya, beliau bukan bermaksud sistem pendidikan negara tidak baik, namun perlu terus diperkasakan, malah inisiatif Kementerian Pendidikan memperkenalkan Kemahiran Berfikir Asas Terbaik (KBAT) amat disambut baik.

"KBAT adalah platform terbaik, mendidik anak-anak seawal usia tujuh tahun mengenai kemahiran berfikir. Kita berharap inisiatif itu terus diperkukuhkan.

"Rasionalnya, pada era yang semakin maju, kita perlu memiliki tahap pemikiran lebih tinggi untuk kekal bersaing dan bersedia menghadapi cabaran," katanya.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan kementeriannya tidak dapat membawa perubahan itu ke dalam sistem pendidikan negara, sebaliknya memerlukan sokongan guru, ibu bapa dan campur tangan politik.

"Dengan memantapkan kemahiran berfikir lebih tinggi bermula dari kanak-kanak, ia secara tidak langsung akan membentuk satu budaya yang boleh menjadi ikutan atau amalan generasi baharu," katanya.

Berita Harian X