Khamis, 2 November 2017 | 2:19pm
TIMBALAN Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan diiringi Ketua Pengarah DBP, Datuk Abdul Adzis Abas (tiga dari kiri) ketika hadir di Majlis Perasmian Program Dendang Jiwa Serumpun 2017 di Dewan Amil Jaya, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah di Likas, Kota Kinabalu. Turut hadir, Pengarah DBP Sabah, Asmiah Ajamain (dua dari kiri). - Foto Malai Rosmah Tuah
TIMBALAN Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan diiringi Ketua Pengarah DBP, Datuk Abdul Adzis Abas (tiga dari kiri) ketika hadir di Majlis Perasmian Program Dendang Jiwa Serumpun 2017 di Dewan Amil Jaya, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah di Likas, Kota Kinabalu. Turut hadir, Pengarah DBP Sabah, Asmiah Ajamain (dua dari kiri). - Foto Malai Rosmah Tuah

Bahasa, budaya etnik Sabah perlu diperkasa

KOTA KINABALU: Kepelbagaian etnik di Sabah menjadikan negeri ini kaya dengan sastera, bahasa dan budaya etnik yang perlu terus diperkasakan.

Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, berkata penduduk Sabah terdiri daripada 33 kumpulan pribumi yang berkomunikasi dalam lebih 50 bahasa.

Sabah juga, katanya, memiliki 80 dialek yang menjadi keunikan kepada citra negeri ini.

"Kita khuatir hiburan moden masa kini akan menyebabkan generasi muda hilang jati diri, mudah terikut-ikut dengan budaya asing.

"Ia mengundang gejala negatif sehingga tidak mengenal sastera kebangsaan, bahasa dan budaya etnik mereka,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Program Dendang Jiwa Serumpun 2017 sempena Bulan Bahasa Kebangsaan di Dewan Amil Jaya, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah DBP, Datuk Abdul Adzis Abas dan Pengarah DBP Sabah, Asmiah Ajamain.

Pelbagai persembahan dalam bentuk pantun, syair, deklamasi sajak, tarian suku kaum, lagu puisi, puisi etnik dan lagu rakyat dipersembahkan sempena program berkenaan.

Program yang turut dikenali sebagai program Didik Hibur Pelbagai Kaum, Dendang Jiwa Serumpun itu adalah aktiviti pendidikan berbentuk hiburan membabitkan pelbagai kaum di Sabah.

Sementara itu, Abdul Adzis berkata, institusi seperti DBP turut berperanan memartabatkan bahasa sukuan dan sastera rakyat Sabah melalui penerbitan buku.

''DBP Sabah diberi tanggungjawab menjalankan kajian berkaitan bahasa sukuan dan sastera rakyat. Melalui projek kajian bahasa dan sastera rakyat, kita menerbitkan beberapa buku.

"Antaranya, Glosari Istilah Budaya Tempatan melalui Projek Glosari Istilah Budaya Tempatan: Motif dan Anyaman serta Glosari Istilah Budaya Tempatan: Ukiran.

"Kita juga menerbitkan Daftar Kata Bahasa Bajau Simunul - Bahasa Melayu dan Daftar Kata Bahasa Murut Tahol - Bahasa Melayu. Pada 2012, beberapa pakar dilantik mengkaji adat resam dan pantang larang suku kaum Sabah dan melalui penyelidikan," katanya.

Setakat ini, katanya, DBP sudah menerbitkan 15 buku daftar kata bahasa sukuan Sabah serta novel kanak-kanak cerita rakyat.

Berita Harian X