Isnin, 30 Oktober 2017 | 11:35pm
Pengarah KPDNKK Johor, Khairul Anwar Bachok (tiga dari kiri) bersama Ketua Pegawai Penguatkuasa negeri, Aris Mamat (dua dari kiri) dan anggota penguatkuasa KPDNKK menunjukkan kasut tiruan yang dirampas dalam operasi besar-besaran di kawasan perniagaan Pandan, Johor Bahru. - Foto Mohd Fahmi Mohd Yusof
Pengarah KPDNKK Johor, Khairul Anwar Bachok (tiga dari kiri) bersama Ketua Pegawai Penguatkuasa negeri, Aris Mamat (dua dari kiri) dan anggota penguatkuasa KPDNKK menunjukkan kasut tiruan yang dirampas dalam operasi besar-besaran di kawasan perniagaan Pandan, Johor Bahru. - Foto Mohd Fahmi Mohd Yusof

154 premis diserbu, rampas barang tiruan

JOHOR BAHRU: Sebanyak 154 premis perniagaan di kawasan perniagaan Pandan di sini, diserbu dalam operasi besar-besaran yang dilakukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Johor, malam tadi.

Hasilnya, KPDNKK merampas barang tiruan berupa kasut dari jenama terkenal, cakera padat video (VCD) dan cakera padat digital (DVD) serta jam tangan bernilai hampir RM100,000.

Pengarah KPDNKK Johor, Khairul Anwar Bachok, berkata dalam operasi bermula jam 8 malam tadi, seramai 10 pemilik premis turut ditahan untuk diambil keterangan.

"Sebanyak 10 premis dikenakan tindakan kes mengikut Seksyen 8(2)(b) Akta Perihal Dagangan (APD) 2011 kerana membekalkan atau menawarkan untuk membekalkan apa-apa barang yang baginya suatu perihal dagangan palsu digunakan seolah-olah barang itu tertakluk kepada apa-apa hak yang berhubungan dengan cap dagangan berdaftar.

"Semua barang yang dirampas sepanjang operasi sehingga sekarang bernilai RM96,720 dan operasi akan diteruskan sehingga lewat pagi," katanya pada sidang media, sebentar tadi.

Khairul Anwar berkata, operasi membabitkan kekuatan 70 anggota penguatkuasa KPDNKK Johor yang diketuai Ketua Pegawai Penguatkuasa negeri, Aris Mamat.

"Objektif utama pemeriksaan besar-besaran malam ini adalah untuk memastikan keberadaan anggota penguatkuasa di kawasan tumpuan umum.

"Menerusi pemantauan dan pemeriksaan berterusan oleh anggota penguatkuasa diharapkan dapat mewujudkan lebih banyak premis perniagaan yang menjalankan perniagaan secara beretika selaras dengan peraturan dan perundangan dikuatkuasakan," katanya.

Katanya, dalam operasi itu juga sebanyak 57 premis dikenakan tindakan amaran berhubung menandakan harga mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 dan dua premis berhubung notis jualan murah mengikut Akta APD 2011.

Berita Harian X