Sabtu, 28 Oktober 2017 | 5:45pm
MENTERI Pendidikan, Penyelidikan Sains dan Teknologi, Datuk Seri Michael Manyin Jawong menyampaikan sijil kepada pelajar pada majlis konvokesyen Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching, Kuching, hari ini. - Foto Awang Azmil Awang Ahmad

Dana bina semula sekolah usang

KUCHING: Kerajaan negeri akan mengagihkan peruntukan RM1 bilion dalam Bajet 2018 bagi membaiki dan membina semula sekolah usang di pedalaman secara saksama.

  Menteri Pendidikan, Penyelidikan Sains dan Teknologi, Datuk Seri Michael Manyin Jawong, berkata dana itu membolehkan kerajaan negeri membina semula dan menggantikan sehingga 50 sekolah yang dikategorikan kritikal dan tidak dapat diperbaiki lagi.

  "Kementerian sudah memulakan perbincangan dengan Jabatan Kerja Raya dan kami dimaklumkan bahawa kos untuk membina sebuah sekolah yang dilengkapi kemudahan asrama boleh mencecah sehingga RM20 juta setiap satu.

  "Kami akan menggunakan peruntukan yang disediakan dalam Belanjawan 2018 untuk membina semula dan menggantikan sekurang-kurangnya satu sekolah di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang terletak di kawasan luar bandar," katanya ketika ditemui selepas majlis konvokesyen Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching, di sini, hari ini.

  Manyin berkata, ketika ini sebanyak 415 sekolah di negeri ini berada dalam kategori amat kritikal yang tidak dapat diperbaiki dan memerlukan dana sebanyak RM4 bilion untuk pembinaan semula.

  Katanya lagi, peruntukan yang diterima dalam Bajet 2018 untuk sekolah yang usang di Sarawak tidak akan digunakan untuk menaik taraf Sekolah Kurang Murid (SKM) yang enggan bergabung.

  "Tidak berbaloi jika kita menggunakan peruntukan itu untuk membaiki sekolah yang jumlah muridnya terlalu kecil. Kami akan memujuk ibu bapa agar menyokong cadangan Kementerian Pendidikan untuk menggabungkan sekolah-sekolah itu.

  "Kita tidak boleh menggunakan formula yang digunakan di New Zealand, Finland dan Ireland kerana negara itu mempunyai sumber yang mencukupi untuk membiayai sekolah kecil.

"Di United Kingdom dan Amerika Syarikat, sekolah yang optimum, yang kos efektif, mempunyai sekurang-kurangnya 300 pelajar setiap sekolah," katanya.

Berita Harian X