Rabu, 18 Oktober 2017 | 8:33pm
ANTARA mangsa banjir yang ditempatkan di Dewan Tun Said, Kota Belud. - Foto ihsan Angkatan Pertahanan Awam

Banjir: 119 penduduk dipindahkan di Kota Belud

KOTA BELUD: Jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara di Dewan Tun Said, di sini meningkat kepada 119 orang setakat ‪jam 6‬ petang, berbanding 49 pagi tadi.

Semua yang dipindahkan adalah dari lima kampung iaitu Kampung Donggoi, Marajah, Sembirai, Lingkodon dan Linau.

Ketua Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sabah, Khatizah Rahaban, berkata semua 119 penduduk daripada 36 keluarga.

"Hujan lebat dan angin kencang sejak malam tadi hingga hari ini menyebabkan beberapa kampung dalam daerah banjir.

"Anggota bomba telah menjalankan operasi pemindahan dan semua mangsa banjir ditempatkan di Dewan Tun Said dan Pusat Kawalan Operasi Bomba juga sudah dibuka di Pejabat Daerah Kota Belud, sejak kelmarin.

Sebanyak 17 kampung yang terjejas banjir susulan hujan lebat sejak malam tadi, iaitu Kampung Siasai Tamu, Bobot, Ejuk, Kota Belud, Menunggui, Tanjung Pasir, Wakap, Labuan, Lebak Engad, Taun Gusi Keranjangan, Donggoi, Marajah, Gunding, Sadok-Sadok, Sembirai, Lingkodon dan Linau.

Sementara itu, di Kota Kinabalu, hujan lebat dan angin kencang sejak tengah hari tadi, menyebabkan beberapa kes pokok tumbang termasuk menghempap kenderaan dan bumbung rumah terbang di sekitar ibu negeri.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kota Kinabalu, Maxwell Pancha, berkat setakat ‪jam 4‬ petang tadi pihaknya menerima 50 panggilan berhubung kejadian pokok tumbang di sekitar daerah ini.

"Setakat petang ini, APM menerima 50 panggilan berhubung kejadian pokok tumbang di Kota Kinabalu.

"Bagaimanapun, tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan berlaku dan kita masih menjalankan siasatan terhadap kerosakan kenderaan serta harta benda yang terbabit ketika insiden angin kencang dan ribut itu, "katanya.

Berita Harian X