Rabu, 18 Oktober 2017 | 1:16pm

17 kampung terjejas banjir

KOTA BELUD: Hujan lebat sejak malam tadi menyebabkan 49 penduduk dipindahkan manakala 17 kampung terjejas akibat banjir, setakat jam 11.30 pagi tadi.

Tujuh belas kampung itu ialah Kampung Siasai Tamu, Bobot, Ejuk, Kota Belud, Menunggui, Linau, Gunding, Sembirai, Lingkodon, Tanjung Pasir, Wakap, Labuan, Donggoi, Sadok-Sadok, Marajah, Lebak Engad dan Taun Gusi Keranjangan.

Tujuh jalan terputus banjir membabitkan Jalan Kampung Bobot, Jalan Siasai Tamu, Jalan Linau, Jalan Donggoi-Marajah, Jalan Kampung Menunggui, Jalan Kampung Kota Belud dan Jalan Bypass Lebak Moyoh-Kudat, dengan sebahagiannya hanya boleh dilalui oleh kenderaan berat.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kota Belud, Lt (PA) Paulina Paulus, berkata anggota penyelamat melakukan pemantauan secara berkala di lokasi banjir.

"Setakat ini, seramai 49 penduduk daripada 17 keluarga kini ditempatkan di pusat pemindahan sementara di Dewan Tun Said.

"Semua yang dipindahkan itu adalah dari Kampung Donggoi, Marajah, Gunding, Sadok-Sadok dan Sembirai.

"Lima kampung ini masih banjir manakala 12 kampung yang lain sudah beransur surut," katanya di sini hari ini

Berita Harian X