Isnin, 16 Oktober 2017 | 3:46pm
BADROL (tiga dari kanan) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Darul Aman (SADA), Datuk Abdul Ghani@Zulkifli Zainuddin (lima dari kanan) melawat projek LRA Pokok Sena, di Bukit Pinang, Alor Setar. - Foto Sharul Hafiz Zam
BADROL (tiga dari kanan) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Darul Aman (SADA), Datuk Abdul Ghani@Zulkifli Zainuddin (lima dari kanan) melawat projek LRA Pokok Sena, di Bukit Pinang, Alor Setar. - Foto Sharul Hafiz Zam

LRA Pokok Sena beroperasi bulan depan

POKOK SENA: Loji Rawatan Air (LRA) Pokok Sena yang dibangunkan dengan kos RM68 juta dijangka beroperasi sepenuhnya bulan depan, sekali gus menyelesaikan masalah bekalan air dialami lebih 63,000 penduduk di sekitar daerah ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga negeri, Datuk Badrol Hisham Hashim, berkata projek loji itu yang dimulakan pada 2015 sudah siap 99 peratus dan kini melalui proses percubaan.

Beliau berkata, selain Pokok Sena, LRA itu apabila beroperasi kelak turut mampu menyelesaikan gangguan bekalan air di beberapa kawasan sekitar utara Pendang dan sebahagian Padang Terap, khususnya di lokasi yang mengalami masalah tekanan rendah.

"Tarikh asal projek ini dijadual siap ialah pada 15 November depan dan kini kita sedang melalui proses percubaan, kita yakin kemudahan ini dapat ditunaikan kepada rakyat dalam masa terdekat.

"Dengan adanya loji ini, kita yakin kawasan yang sering mengalami gangguan bekalan air seperti di Kampung Bukit dan Kampung Panchor dekat sini, dapat diselesaikan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat projek LRA Pokok Sena itu yang dibangunkan di tapak berkeluasan 2.2 hektar dengan kapasiti penghasilan 30 juta liter air sehari.

Sehingga kini, terdapat 13,000 akaun penduduk di Pokok Sena bersama Syarikat Air Darul Aman (SADA) dengan penggunaan semasa 22,000 meter padu sehari.

Badrol berkata, selepas LRA Pokok Sena beroperasi, LRA di Bukit Pinang yang selama ini digunakan bagi menyalurkan bekalan air penduduk di kawasan ini akan dapat dimanfaatkan bagi menampung penggunaan penduduk di sekitar Alor Setar pula bagi mengatasi gangguan air di daerah itu.

"Apa yang kita lakukan ini adalah berpaksikan kepada akujanji Barisan Nasional (BN) untuk berbakti kepada rakyat dan bukan hanya sekadar cakap kosong," katanya.

Berita Harian X