Sabtu, 14 Oktober 2017 | 12:18pm
Yang Dipertua Negeri, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob (tiga dari kiri) memeriksa perbarisan dan kawalan kehormatan utama sempena Sambutan Hari Jadi Yang Dipertua Negeri (TYT) ke-79 serta Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka di Dataran Seri Negeri, Ayer Keroh. - Foto Khairunisah Lokman

Melaka maju hasil usaha kerajaan, sokongan rakyat

AYER KEROH: Melaka tidak akan mampu melangkah lebih jauh terutama dalam aspek ekonomi tanpa usaha kerajaan negeri dan sokongan berterusan rakyat.

Yang di-Pertua Negeri, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob, memuji usaha kerajaan negeri atas keberhasilan apabila Melaka berjaya mencatatkan pengangguran rendah, graduan berupaya mendapatkan pekerjaan di bidang teknikal, kadar isi rumah terus mengukuh selain tahap kemiskinan terendah.

"Kita juga melihat peningkatan memberangsangkan dalam jumlah kedatangan pelancong ke Melaka.

"Tahniah kepada Ketua Menteri (Datuk Seri Idris Haron) yang diiktiraf sebagai 'The Tourism Guru' dan pelopor 'Don't Mess With Melaka'.

Yang Dipertua Negeri, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob (tengah) disambut oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron (kanan) pada Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka sempena Sambutan Hari Jadi ke-79 Yang Dipertua Negeri di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh. - Foto Khairunisah Lokman

"Hasil hubungan baik di antara China dan Malaysia juga membolehkan perjanjian dua hala di antara Guangdong dan Melaka termeterai sehingga membawa banyak manfaat kepada projek berskala besar di negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka 2017 Sesi Pertama di Seri Negeri di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengetuai 208 penerima Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka sempena sambutan Hari Jadi ke-79 Mohd Khalil.

Wan Junaidi menerima Darjah Gemilang Seri Melaka (DGSM) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Sebelas lagi penerima DGSM termasuk EXCO Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, dan Teknologi, Teknologi Hijau dan Inovasi, Datuk Seri Md Yunos Husin; ahli perniagaan, Tan Sri Syed Mohd Yusof Syed Nasir dan Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Seramai 13 individu menerima Darjah Cemerlang Seri Melaka (DCSM) yang membawa gelaran Datuk Wira, antaranya Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin; Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Wira Halimah Sadique dan Ketua Setiausaha Sulit Pejabat Perdana Menteri, Datuk Wira Iskandar Mohd Kaus.

Pada sesi pertama itu, Mohd Khalil turut menyampaikan Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) kepada lima penerima dan Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) kepada 58 penerima, masing-masing membawa gelaran Datuk.

Darjah Seri Melaka (DSM) diberikan kepada 24 penerima, Bintang Cemerlang Melaka (16), Bintang Khidmat Terpuji (32), Pingat Jasa Kebaktian (20), Pingat Bakti Masyarakat (19) dan Pingat Khidmat Lama (5).

Berita Harian X